Malaysia Airports peruntuk RM1.4j untuk bantuan banjir

Perniagaan

PETALING JAYA: Malaysia Airports telah memperuntukkan RM1.4 juta untuk memberikan bantuan berterusan kepada komuniti yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Setakat ini, usaha bantuan tertumpu di kawasan sekitar tiga lapangan terbang dalam rangkaiannya iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani menekankan komitmen organisasi untuk membantu komuniti yang dilanda banjir.

Katanya, banjir baru-baru ini telah menyebabkan cabaran besar kepada banyak keluarga dan Malaysia Airports komited sepenuhnya untuk berdiri bersama mereka yang memerlukan.

“Kami bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), GLC/GLIC Demi Rakyat & Negara (GDRN) dan agensi lain untuk memastikan bantuan disalurkan dengan pantas dan berkesan.

“Keutamaan kami adalah untuk memupuk daya tahan dalam komuniti ini semasa masa yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Malaysia Airports telah membekalkan 1,000 khemah modular ke setiap lapangan terbang ini dan kepada NADMA.

Jelasnya, khemah-khemah ini akan ditempatkan di pusat pemindahan banjir bagi menyediakan tempat perlindungan sementara bagi individu yang kehilangan tempat tinggal.

“Selain menyediakan sumbangan kewangan, Malaysia Airports telah bekerjasama dengan GDRN dan agensi lain yang berkaitan dalam mengagihkan bekalan penting kepada komuniti yang terjejas, termasuk kit kebersihan dan bahan makanan tidak mudah rosak.

“Melangkah ke hadapan, pakej bantuan juga akan termasuk set peralatan tempat tidur serta peralatan pembersihan untuk terus menyokong usaha pemulihan segera,” ujarnya.

Tambahnya, langkah-langkah ini mencerminkan komitmen Malaysia Airports yang tidak berbelah bahagi untuk berdiri di sisi kakitangan dan komuniti tempatan semasa masa yang mencabar.

Syarikat itu terus bekerjasama rapat dengan NADMA dan agensi lain untuk memastikan penyampaian bantuan tepat pada masanya dan berkesan.-UTUSAN