PM ucap tahniah kepada FAM eRimau

Sukan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pasukan FAM eRimau selepas menjuarai Piala Dunia FIFAe 2024 dalam pertandingan eFootball Mobile.

“Tahniah skuad FAM eRimau dan saudara Ahmad Muhaimin (Minbappe) yang menjuarai saingan FIFAe World Cup 2024 Ft. eFootball Mobile. Terus cemerlang dan harumkan nama negara di pentas dunia!,” kata Anwar dalam satu hantaran di akaun X miliknya.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung semalam, pasukan FAM eRimau menewaskan Maghribi 2-0 untuk memenangi kejohanan tersebut.

Malaysia, yang diwakili oleh Ahmad Muhaimin, juga dikenali sebagai Minbappe, memenangi perlawanan pertama 3-0 dan perlawanan kedua 2-0 sebelum dinobatkan sebagai juara, serta membawa pulang hadiah wang tunai AS$20,000 (RM89,000).

Malaysia adalah negara pertama di ASEAN yang memenangi kejohanan tersebut. – UTUSAN