Dua beregu lelaki negara alami nasib berbeza

Sukan

PETALING JAYA: Nasib berbeza melanda dua beregu lelaki negara apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di peringkat kumpulan B, sebentar tadi.

Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan pukulan terbaik apabila melakar kemenangan  24-20, 21-12 ke atas n juara Olimpik Paris 2024, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Kemenangan itu membolehkan pasangan No. 7 dunia itu mengakhiri saingan Kumpulan B selaku naib juara di belakang gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang muncul juara kumpulan.

Sementara itu, percubaan kelima Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Jelajah Dunia Akhir tidak membuahkan hasil apabila tewas kepada pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Bekas juara dunia itu hanya memerlukan kemenangan satu set bagi mengesahkan tempat di separuh akhir namun terpaksa akur dengan kekalahan straight set 16-21, 16-21.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik hampir pasti ke separuh akhir selepas melakar dua kemenangan ke atas Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia serta wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Bagaimanapun, impian itu hampir pudar apabila Ji Ting-Xiang Yu memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan menyebabkan kemenangan Aaron-Wooi Yik dibatalkan, sekali gus memerlukan mereka menang sekurang-kurangnya satu set ke atas Sabar Karyaman-Moh Reza.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan kelima mereka di pentas Jelajah Dunia Akhir sejak 2019 dan setakat ini mereka gagal meloloskan diri dari peringkat kumpulan pada lima edisi berkenaan.

Kini, perjuangan kejohanan terakhir musim ini diteruskan dengan tiga wakil negara iaitu Sze Fei-Nur Izzuddin serta dua pasangan campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai di pusingan separuh akhir, esok. – UTUSAN