Belum rezeki Malaysia mara ke final Skuasy Dunia

Sukan

PETALING JAYA: Sekalung pujian harus diberi kepada pasukan skuasy wanita kebangsaan yang berjaya mara sejauh separuh akhir, walaupun, kecundang di tangan pilihan kedua, Amerika Syarikat (AS) 0-2 pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Hong Kong, malam tadi.

Pemain No. 17 dunia, Rachel Arnold yang membuka aksi buat Malaysia mempamerkan semangat kentalnya mengheret Amanda Sobhy bertarung sehingga ke set penentuan sebelum tunduk 9-11, 11-7, 9-11, 11-5, 8-11 dalam masa 45 minit.

Ketinggalan 0-1, menyaksikan tanggungjawab berat terpaksa digalas pemain No. 10 dunia, S. Sivasangari yang perlu mengikat AS dengan misi membenam bintang No. 4 dunia, Olivia Weaver.

Anak jati Kedah berusia 25 tahun itu pada awalnya mempamerkan aksi bertenaga apabila melakar kemenangan dalam dua set awal, tetapi, Sivasangari tiba-tiba kehilangan momentum dan tumpas dalam lima set 11-7, 11-9, 5-11, 2-11, 2-11 dalam masa 47 minit.

Kekalahan Sivasangari bermakna Aira Azman yang diletakkan sebagai perseorangan ketiga dengan giliran pemain 2-1-3 digunakan pada separuh akhir, tidak perlu turun ke gelanggang.

Kejayaan AS tersebut akan menemukan negara Uncle Sam itu dengan juara bertahan, Mesir yang terlebih dahulu telahpun layak ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Belgium 3-0 dalam satu lagi separuh akhir.

Untuk barisan srikandi negara, mereka harus berbangga kerana melangkah ke separuh akhir yang merupakan ulangan pencapaian pada edisi 2022.

Cuma yang menjadi perbezaannya ialah pada separuh akhir, dua tahun lalu, Malaysia tewas kepada Mesir 0-2 dan ini bermakna skuad negara berkongsi pingat gangsa dengan Belgium.

Pencapaian terbaik pasukan skuasy wanita negara ialah pada edisi 2014 di Kanada yang menyaksikan Malaysia muncul selaku naib juara selepas

tumpas di tangan England pada final.

Pada ketika itu, skuad kebangsaan diketuai bekas juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan. – UTUSAN