Soon Huat-Shevon enggan dabik dada

Sukan

PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mencipta kejutan apabila bangkit untuk mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, semalam.

Meskipun Soon Huat mengalami kecederaan kecil di rusuknya selepas melakukan aksi ala Superman, pasangan No. 10 itu enggan menjadikan kejayaan tersebut sebagai alasan untuk berpuas hati.

“Melihat undian pada awalnya, kami tahu ada peluang, tetapi kami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana semua pasangan berada dalam prestasi yang sangat baik.

“Kami memulakan kejohanan ini dengan agak kurang baik, dan itu sedikit sebanyak menjejaskan kami dalam perlawanan pertama. Jadi, mara ke separuh akhir kali ini benar-benar bermakna buat kami,” kata Shevon.

Semalam Soon Huat-Shevon bangkit dari ketinggalan set pertama untuk menewaskan pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 17-21, 21-15, 21-14 untuk mengesahkan tiket ke pertemuan empat terakhir.

Dalam pada itu, Shevon menambah, sebagai pemain bebas, kemenangan ini juga memberikan mereka kelegaan dari segi kewangan untuk merancang musim akan datang dengan lebih baik.

“Seperti yang semua tahu, sebagai pemain bebas, kami perlu mencari dana sendiri. Jadi, semuanya secara teknikal adalah atas usaha kami sendiri.

“Kami juga ingin menunjukkan bahawa sebagai pemain bebas, kami juga mampu bersaing dengan baik. Saya harap kejayaan ini dapat memberi motivasi kepada rakan sepasukan kami di tanah air,” tambahnya.

Shevon-Soon Huat mengikut jejak langkah beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang sudah melayakkan diri ke separuh akhir selepas mencatat semua kemenangan dalam peringkat Kumpulan B.-UTUSAN