SEREMBAN: Terengganu FC membawa bekalan dua gol ke Gong Badak selepas menewaskan Negeri Sembilan FC dengan keputusan 2-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia petang tadi.
Berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang mencipta jaringan.
Bagaimanapun, pelawat berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-19.
Ia menerusi jaringan ketua pasukan, Muhammad Safawi Rashid yang berjaya memperdayakan beberapa pertahanan sebelum merembat masuk bola menewaskan Muhamad Aqil Abdul Razak di gawang tuan rumah.
Negeri Sembilan mempunyai peluang terbaik bagi menyamakan kedudukan pada minit terakhir separuh masa pertama.
Bagaimanapun, sepakan percuma diambil Muhammad Hadin Azman berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol Terengganu, Muhammad Rahadiazli Rahalim.
Memasuki separuh masa kedua tuan rumah kerap melancarkan serangan namun terus buntu memperoleh gol.
Minit ke-78, tuan rumah beraksi dengan 10 orang pemain selepas pertahanan mereka, Aliyu Audu Abu Bakar diperintahkan keluar padang apabila mengasari pemain pelawat, Mohd. Nor Hakim Hassan.
Terengganu kemudian dianugerahkan sepakan penalti pada apabila Muhamad Aqil menjatuhkan Nelson Wilfredo Bonilla Sanchez dalam kotak penalti.
Peluang itu tidak dipersia-siakan oleh penyerang import Terengganu itu untuk gol kedua pelawat pada minit ke-85 sekali gus menambah luka penyokong tuan rumah.
Negeri Sembilan cuba mendapatkan gol saguhati namun Terengganu kental bertahan sekali gus menyaksikan keputusan kekal memihak pelawat dengan jaringan 2-0.
Perlawanan kedua peringkat suku akhir di antara kedua-dua pasukan bakal berlangsung 21 Disember ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu.-UTUSAN.