Kelebihan dua gol belum cukup buat TFC

Sukan

SEREMBAN: Bekalan dua gol yang dibawa Terengganu FC (TFC) dari Paroi di sini semalam masih belum mencukupi bagi mengesahkan tempat pasukan itu untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali mengakui kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) di gelanggang lawan dalam aksi suku akhir pertama semalam memberikan semangat buat anak buahnya bagi menghadapi perlawanan kedua pada 21 Disember ini.

“Masih berbaki 90 minit di Kuala Terengganu, kami akan perbaiki semua aspek dalam tempoh masa seminggu ini, bekalan dua gol ini memang akan bangkitkan semangat dan motivasi buat pemain.

“Apa pun, dua gol ini tidak semestinya kami akan bermain secara bertahan di Gong Badak, kami akan terus menyerang dan ikut perancangan dan saya harap pemain dapat menambah gol pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia di antara NSFC dan TFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini semalam.

TFC memperoleh gol mereka menerusi jaringan ketua pasukan, Muhammad Safawi Rashid pada minit ke-19 dan jaringan penyerang import, Nelson Wilfredo Bonilla Sanchez menerusi sepakan penalti pada minit ke-85.

Sementara itu, buat pengendali NSFC, K. Nantha Kumar, keputusan pada perlawanan semalam bukanlah sesuatu yang diharapkan ketika pasukannya begitu menginginkan kemenangan pertama di gelanggang sendiri bagi musim ini.

“Saya juga tunggu untuk menang di tempat sendiri, memang mahu menang di sini tetapi saya sendiri tidak tahu kenapa ia masih tidak berlaku.

“Saya beritahu pemain setiap kali kami bermain di gelanggang sendiri, kami perlu dapatkan kemenangan tetapi keputusan masih tidak berpihak namun kami tidak putus asa dan akan cuba pada perlawanan akan datang,” katanya.

Tambahnya, NSFC masih berpeluang untuk layak ke peringkat empat pasukan terbaik dan pastinya pemain akan berhabis-habisan bagi memadamkan kelebihan dua gol diperoleh lawan pada perlawanan kedua suku akhir nanti.

“Kita ada 90 minit lagi, kami akan habis-habisan dan akan ubah corak permainan di sana,” katanya.

Perlawanan kedua peringkat suku akhir di antara kedua-dua pasukan bakal berlangsung 21 Disember ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu.-UTUSAN.