PETALING JAYA: Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei biarpun tewas dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China.
Biarpun tewas, gandingan No. 8 dunia itu tidak memberikan laluan mudah buat pasangan No. 3 dunia yang juga wakil tuan rumah, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong sebelum tunduk 18-21, 21-14, 17-21 dalam masa 1 jam 15 minit.
Sebagai naib juara pada kejohanan penutup musim tersebut, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$100,000 (RM445,000) beserta trofi dan pingat perak.
Kekalahan beregu campuran No. 1 negara itu ditangan juara bertahan tersebut menjadikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan semakin melebar kepada 0-5.
Namun, buat kali pertama Tang Jie-Ee Wei berjaya mencuri satu set daripada lima pertemuan, setelah dalam empat aksi terdahulu mereka tewas dengan keputusan straight set.
Walaupun masih belum mengatasi gandingan China itu, tetapi, banyak perkara positif buat Tang Jie-Ee Wei di atas kejayaan mara sehingga ke final yang turut melonjakkan ranking mereka ke tangga No. 6 dunia yang merupakan pencapaian terbaik pasangan berkenaan. – UTUSAN