PETALING JAYA: Impian beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk bergelar juara Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 tidak kesampaian apabila tumpas kepada wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di Hangzhou, China, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang bakal melonjak ke ranking No. 3 dunia, minggu depan tunduk 17-21, 21-17, 11-21 dalam masa 1 jam 5 minit kepada pasangan veteran itu.
Kekalahan itu juga menyaksikan masih belum ada lagi wakil Malaysia yang berjaya menjulang gelaran pada kejohanan penutup musim tersebut yang diperkenalkan sejak 2018 dalam semua kategori.
Malah, kegagalan Sze Fei-Izzuddin turut melebarkan rekod kemenangan Astrup-Rasmussen ke atas mereka menjadi 8-2.
Selaku naib juara, Sze Fei-Izzuddin yang bakal merampas gelaran beregu lelaki No. 1 negara daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$100,000 (RM445,089) beserta trofi dan pingat perak.
Walaupun tewas, daripada sudut pandangan yang lebih positif menjelang Terbuka Malaysia pada Januari tahun depan, cabaran wakil negara khususnya dalam saingan beregu lelaki dan campuran dijangka berlangsung lebih menarik. – UTUSAN