Antara muka bahasa Inggeris Taobao beri pengalaman lebih mesra pengguna

Perniagaan

MUKADIMAH
Sektor e-dagang Malaysia sedang berkembang pesat dengan pelbagai platform beli-belah dalam talian. Dengan permintaan pasaran yang kukuh, pengguna Malaysia semakin menggemari platform e-dagang yang bukan sahaja menawarkan pilihan produk yang pelbagai dan diskaun menarik tetapi juga pengalaman yang disesuaikan untuk pembeli tempatan.

Sebagai salah satu usaha terkini untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan, Taobao Malaysia baru-baru ini memperkenalkan antara muka (interface) beta Bahasa Inggeris yang memudahkan pengalaman membeli-belah dalam talian untuk rakyat Malaysia. Antara muka mesra pengguna ini, yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), menyediakan ciri-ciri seperti penukaran harga automatik dan sokongan pelanggan untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang lancar.

Wartawan Utusan Malaysia, AMIRUL AIMAN OSMAN berpeluang menemu ramah Ketua Negara Taobao Malaysia, JESS LEW bagi berkongsi keupayaan dan aksesibiliti Taobao dalam pasaran Malaysia.

UTUSAN : Bagaimanakah pelancaran antara muka beta bahasa Inggeris yang dipacu oleh AI di Taobao meningkatkan pengalaman membeli-belah untuk penduduk Malaysia?
JESS LEW: Pelancaran antara muka beta bahasa Inggeris Taobao yang menggunakan teknologi AI menandakan langkah besar dalam meningkatkan pengalaman membeli-belah untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Dengan memperkenalkan pilihan bahasa tambahan ini, Taobao memecahkan halangan bahasa dan membolehkan rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Cina meneroka pelbagai pilihan produk yang luas di platform ini.
Antara muka ini direka khusus untuk memenuhi keperluan pengguna Malaysia, dengan menawarkan penerangan produk yang terperinci dalam Bahasa Inggeris dan produk yang disesuaikan mengikut citarasa tempatan.
Penukaran harga secara automatik daripada Yuan China ke Ringgit memberikan kemudahan tambahan dan menghapuskan keperluan pengiraan manual. Selain itu, antara muka intuitif ini juga memudahkan navigasi platform untuk semua pengguna.

Apakah langkah tambahan yang diambil oleh Taobao untuk memastikan platformnya lebih inklusif, khususnya untuk pengguna yang mempunyai literasi digital yang terhad?
Seiring dengan kemunculan teknologi dan ciri baharu, kami melihat perubahan positif ke arah literasi digital yang lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, kami sedar bahawa terdapat segmen populasi, seperti golongan warga emas yang masih menghadapi cabaran dalam menavigasi dunia digital.

Antara muka beta bahasa Inggeris Taobao kami telah direka dengan pengalaman pengguna yang dipermudahkan, memastikan pengguna dari pelbagai generasi dapat menavigasi platform ini dengan mudah dan yakin. Aplikasi ini juga dilengkapi dengan terjemahan AI untuk menyediakan penerangan produk yang terperinci dalam bahasa Inggeris sekali gus mengurangkan halangan bahasa dan memberi peluang kepada lebih ramai pengguna tempatan untuk membeli-belah dengan lancar dalam bahasa pilihan mereka.

Selain itu, kami juga berusaha untuk menyelaraskan aspek logistik membeli-belah di Taobao dengan menyediakan penghantaran terus ke pintu rumah pengguna di Malaysia. Kini, dengan penghantaran terus tersedia untuk 92 pertaus produk di platform Taobao Malaysia, pengguna tempatan tidak perlu lagi berhadapan dengan kerumitan menyatukan pesanan secara manual selepas membuat pembelian. Pelangan boleh menerima pesanan mereka dalam tempoh lima hari bekerja.

Untuk menyokong pengguna yang mungkin memerlukan bantuan, Taobao turut menyediakan pusat bantuan dalam aplikasi yang dedikasi, di mana pengguna boleh mengakses sumber yang berguna atau menghubungi khidmat pelanggan. Pasukan sokongan pelanggan dwibahasa kami, yang mahir dalam bahasa Inggeris dan Cina tersedia setiap hari dari jam sembilan pagi hingga sembilan malam. Langkah-langkah ini memastikan pengguna dapat menerima bantuan dengan cepat melalui aplikasi Taobao itu sendiri.

Apakah trend e-dagang terkini di Malaysia, dan bagaimana Taobao menyesuaikan diri untuk kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif ini?
Di Malaysia, salah satu trend e-dagang yang paling ketara adalah dominasi pembelian melalui telefon mudah alih, dengan lebih daripada 70 peratus transaksi e-dagang dilakukan menggunakan telefon pintar. Trend ini menekankan keperluan untuk aplikasi mudah alih yang mesra pengguna bagi meningkatkan kemudahan dan aksesibiliti, sesuatu yang diusahakan oleh Taobao Malaysia melalui antara muka beta bahasa Inggerisnya.

Selain itu, populariti pembelian antarabangsa yang semakin meningkat menunjukkan bahawa pengguna Malaysia kini lebih terbuka untuk membeli produk daripada penjual luar negara. Sebagai respons, Taobao Malaysia telah memberi tumpuan kepada mempermudah akses kepada penjual antarabangsa serta menawarkan pengguna pelbagai pilihan produk yang lebih luas untuk memenuhi keperluan dan cita rasa mereka.

Taobao Malaysia juga terus berinovasi dan menyesuaikan diri untuk memastikan ia kekal relevan dan kompetitif dalam landskap e-dagang yang dinamik ini.

Bagaimana Taobao membezakan dirinya daripada platform e-dagang lain untuk memenuhi keperluan unik pembeli di Malaysia?
Taobao berbangga menjadi destinasi membeli-belah yang serba boleh dan inklusif. Platform ini menawarkan pengguna pengalaman sehenti untuk meneroka bukan sahaja pelbagai produk keperluan harian, tetapi juga barangan trend dan menarik yang mungkin tidak pernah mereka sedari kewujudannya. Daripada fesyen dan keperluan rumah hingga gajet serta koleksi unik, Taobao menjadi sumber inspirasi, membantu pengguna di pelbagai peringkat kehidupan menemui barangan yang mencerminkan minat dan identiti mereka.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada keluarga Alibaba, Taobao Malaysia bekerjasama rapat dengan Cainiao untuk memanfaatkan keupayaan logistiknya yang canggih, seterusnya meningkatkan pengalaman membeli-belah untuk pengguna Malaysia. Ini membolehkan kami menyediakan pilihan penghantaran rentas sempadan yang menjimatkan, boleh dipercayai, promosi penghantaran yang pelbagai dan kemudahan pemulangan produk dengan mudah sekiranya terdapat isu kualiti.

Usaha-usaha ini memastikan perjalanan membeli-belah yang lancar dan memuaskan untuk pembeli Taobao di Malaysia, dari proses pemilihan hingga penghantaran.

Bolehkah anda kongsikan lebih lanjut mengenai ciri logistik Taobao, seperti penghantaran langsung dan percuma, serta proses pemulangan dan pampasan yang mudah?
Taobao Malaysia komited untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lancar dan mudah disokong oleh ciri logistik yang kukuh. Perkhidmatan penghantaran langsung kami memastikan produk dihantar terus ke pintu pengguna, tanpa memerlukan proses penggabungan pesanan secara manual. Lebih 92 peratus produk di platform ini menyokong penghantaran langsung, dengan pesanan sampai dalam tempoh serendah lima hari bekerja.

Pengguna Taobao di Malaysia juga boleh menikmati penghantaran percuma apabila perbelanjaan mereka memenuhi jumlah minimum tertentu yang bakal memberikan nilai tambahan kepada pengalaman membeli-belah mereka.

Baru-baru ini, had perbelanjaan minimum untuk penghantaran percuma telah diturunkan. Sebelum ini, pengguna perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RMB199 (RM121) untuk penghantaran laut antarabangsa percuma.

Kini, jumlah minimum telah dikurangkan kepada RMB99 (RM60) dalam zon “MY Free Shipping”, yang meliputi ratusan juta produk daripada pelbagai kategori. Pengguna juga boleh memilih untuk membayar sedikit yuran tambahan untuk menaik taraf kepada penghantaran udara percuma.

Taobao turut mempercepatkan perkhidmatan penghantarannya bagi memastikan pesanan tiba lebih cepat. Sekiranya berlaku situasi luar biasa di mana pesanan tidak sampai dalam tempoh yang dijamin, Taobao menawarkan pampasan sehingga RMB5,000 (RM3,060) memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna kami.

Selain itu, perkhidmatan pemulangan tempatan membolehkan pengguna di Malaysia memulangkan produk secara domestik tanpa perlu menghantar kembali barangan kepada penjual asal di luar negara. Proses ini mengurangkan kerumitan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih menyenangkan.

Bagaimanakah polisi pemulangan tempatan dan pampasan memberi kesan kepada kepercayaan pengguna terhadap pembelian merentasi sempadan di Taobao?
Polisi pemulangan tempatan dan pampasan Taobao telah memperkukuhkan kepercayaan pengguna terhadap pembelian merentasi sempadan dengan menawarkan pengalaman yang bebas kebimbangan. Dengan adanya polisi ini, pengguna dapat membeli-belah dengan yakin, mengetahui bahawa Taobao mengutamakan kepuasan mereka.

Pengguna Malaysia boleh menikmati pemulangan percuma untuk pesanan pertama mereka dan produk yang layak untuk pemulangan tempatan atau pemulangan percuma boleh dipulangkan dalam masa 15 hari selepas menerima barang. Dengan membenarkan pemulangan ke gudang tempatan dan bukannya menghantar barang kembali ke China, Taobao telah menghapuskan satu masalah besar bagi pembeli. Ini membolehkan pengguna meneroka pelbagai produk merentasi sempadan Taobao dengan bebas tanpa rasa ragu kerana mereka tahu bahawa Taobao mempunyai penyelesaian yang boleh dipercayai dan mudah jika diperlukan.

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Taobao untuk memastikan keselamatan transaksi merentasi sempadan, terutamanya bagi pembeli Malaysia?
Taobao memastikan keselamatan transaksi merentasi sempadan untuk pembeli Malaysia melalui gabungan langkah-langkah yang kukuh. Ia bekerjasama dengan Antom, penyedia perkhidmatan pembayaran dan digitalisasi yang dipercayai di bawah Ant International. Kerjasama ini membolehkan integrasi pelbagai kaedah pembayaran serta menggunakan teknologi penyulitan lanjutan dan pengesanan penipuan untuk melindungi maklumat transaksi.

Pembayaran bagi pembelian akan disimpan dalam akaun escrow di bawah dasar perlindungan pembeli kami dan hanya akan dibayar kepada penjual selepas pembeli mengesahkan penerimaan barang. Untuk meningkatkan kepercayaan, penjual akan melalui proses pengesahan dengan tanda pengiktirafan yang menunjukkan kredibiliti mereka.

Selain itu, Taobao menggunakan sistem pengesanan penipuan berkuasa AI untuk memantau transaksi bagi aktiviti mencurigakan secara masa nyata. Sekiranya berlaku pertikaian, platform ini menawarkan mekanisme penyelesaian khusus yang disokong oleh khidmat pelanggan dwibahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Mandarin untuk membantu pembeli Malaysia. Langkah-langkah komprehensif ini mempromosikan pengalaman membeli-belah yang selamat dan lancar bagi pengguna tempatan Taobao.

Apakah kaedah pembayaran yang paling popular dalam kalangan pengguna Malaysia di Taobao, dan bagaimana pilihan ansuran memberi manfaat kepada mereka?
Taobao Malaysia menyediakan pelbagai kaedah pembayaran yang disesuaikan dengan keutamaan pengguna Malaysia, termasuk kad kredit dan debit, perbankan dalam talian, serta e-dompet popular seperti Touch ‘n Go eWallet, Lazada Wallet, dan Apple Pay.

Untuk meningkatkan aksesibiliti dan kemampuan, Taobao juga menyediakan pilihan ansuran kad kredit yang membolehkan pengguna membeli tanpa perlu membayar sepenuhnya pada masa yang sama. Ciri ini menjadikan pengalaman membeli-belah di Taobao lebih mudah diurus dan meningkatkan fleksibiliti kewangan pengguna. – UTUSAN