Adania mahu bantu datuk beli alat pendengaran

Sukan

PETALING JAYA: Lazimnya setiap atlet akan membelanjakan wang hadiah kemenangan untuk diri sendiri, namun berbeza buat Adania Mohd Redzwan apabila mahu membeli alat bantuan pendengaran untuk datuknya.

Pemain boling remaja negara itu mahu membantu datuknya dengan menggunakan sebahagian daripada hadiah kemenangan bernilai RM10,000 yang diperolehi daripada Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Star 2024.

Adania, 19, muncul naib juara Terbuka Wanita selepas tewas 178-221 kepada wakil Singapura, Hazel Tan pada aksi final yang menggunakan format stepladder di Sunway Mega Lanes, kelmarin.

“Datuk saya baru-baru ini disahkan mengalami masalah pendengaran. Jadi, saya berasa gembira dapat membantu membiayai alat bantuan pendengaran untuknya,” kata Adania.

Adania menutup musim ini dengan cemerlang apabila dia turut memenangi pingat emas berpasukan pertama ketika mewakili negara di Kejohanan Dunia Remaja yang diadakan di Incheon, Korea Selatan pada Julai lalu.

“Ini kali pertama saya layak ke peringkat akhir stepladder sejak menyertai skuad remaja kebangsaan tahun lalu. Saya beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan akhir ini, terutamanya jika dibandingkan dengan pusingan kelayakan di mana saya bergelut dengan lontaran spare.

“Kedudukan naib juara ini adalah pencapaian individu terbaik saya di pentas antarabangsa. Saya bertekad untuk membina momentum ini bagi persediaan ke Kejohanan Boling Remaja Asia tahun depan, di mana Malaysia bakal menjadi tuan rumah,” kata Adania.

Bagi kategori Terbuka Lelaki menyaksikan wakil Korea Selatan, Kim Tae Jin muncul juara dan memenangi hadiah wang tunai RM25,000 selepas menewaskan rakan senegara dan juara bertahan, Bae Jung Hun dengan keputusan 216-194 dan 270-258.-UTUSAN