MANCHESTER: Derita Manchester City terus berpanjangan apabila tumpas 1-2 kepada seteru setempat, Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi ini.
Anak-anak buah Ruben Amorim bangkit menerusi dua gol pada lewat permainan menerusi Bruno Fernandes dan Amad Diallo untuk memadam gol awal jaringan Josko Gvardiol.
Pertembungan tetangga Manchester pertama buat Amorim itu kelihatan seperti akan berakhir dengan kemenangan buat City apabila tandukan Gvardio pada minit ke-36 meletakkan tuan rumah di depan.
Namun Diallo mencetus kebangkitan United apabila pemain muda Ivory Coast itu mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Fernandes dua minit sebelum tamat permainan.
Selepas itu, Diallo sekali lagi mengejutkan City apabila menyambut hantaran jauh dan menewaskan penjaga gol, Ederson dari sudut sukar untuk gol kemenangan United.
City kini tewas lapan daripada 11 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, dengan hanya satu kemenangan direkodkan.
Mereka kekal di tangga kelima Liga Perdana dengan 27 mata daripada 16 perlawanan, sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan.
United pula melonjak ke tangga ke-12 dengan 22 mata untuk seketika, sebelum kembali ke tangga ke-13 apabila Tottenham membelasah Southampton 5-0 di St Mary’s.-AGENSI