Tang Jie-Ee Wei raih pengalaman berguna

Sukan

PETALING JAYA: Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei biarpun tewas dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China, semalam.

Biarpun tewas, gandingan No. 8 dunia itu tidak memberikan laluan mudah buat pasangan No. 3 dunia yang juga wakil tuan rumah, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong sebelum tunduk 18-21, 21-14, 17-21 dalam masa 1 jam 15 minit.

Sebagai naib juara pada kejohanan penutup musim tersebut, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$100,000 (RM445,089) beserta trofi dan pingat perak.

Kekalahan beregu campuran No. 1 negara itu ditangan juara bertahan tersebut menjadikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan semakin melebar kepada 0-5.

Namun, buat kali pertama Tang Jie-Ee Wei berjaya mencuri satu set daripada lima pertemuan, setelah dalam empat aksi terdahulu mereka tewas dengan keputusan straight set.

Walaupun masih belum mengatasi gandingan China itu, tetapi, banyak perkara positif buat Tang Jie-Ee Wei di atas kejayaan mara sehingga ke final yang turut melonjakkan ranking mereka ke tangga No. 6 dunia yang merupakan pencapaian terbaik pasangan berkenaan.

Perlawanan tersebut juga adalah yang terakhir buat Si Wei yang mengumumkan persaraannya dan kemenangan buat kali keempat pada Jelajah Dunia Akhir merupakan penampilan terakhir pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 Paris itu.

Tang Jie yang turut berkongsi pandangannya berdepan beregu handalan dunia itu berkata, perlawanan akhir tersebut cukup istimewa kerana Si Wei-Ya Qiong merupakan pasangan legenda dunia.

“Saya tumpang bangga berpeluang bermain buat kali terakhir dengan mereka dan ini satu detik yang manis buat kami,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persembahan di pentas akhir, Ee Wei pula memberitahu, dia dan Tang Jie perlu belajar untuk menjadi lebih konsisten terutama ketika berada di mata genting.

“Kami perlu belajar daripada beregu berpengalaman ini, mereka bermain dengan sangat baik dan ini merupakan pengajaran bagi membantu meningkatkan kualiti permainan kami,” ujarnya.

Ee Wei berkata, sebelum ini mereka sering bergelut dengan prestasi tidak menentu dan selepas banyak berbincang, dia gembira banyak perubahan positif telah berlaku.

Biarpun tewas, Tang Jie- Ee Wei sudah pun melakar sejarah buat Malaysia apabila muncul beregu campuran pertama negara mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir sejak diperkenalkan pada 2018.

Habis