Amorim beri ‘mesej’ tegas kepada pemain United

Sukan

MANCHESTER: Pemain bintang Manchester United kini perlu bersedia dengan undang-undang baharu yang digariskan pengendali mereka, Ruben Amorim.

Tindakan Amorim mengetepikan Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho dalam perlawanan derbi Manchester, semalam menimbulkan pelbagai persoalan.

Namun, Amorim menegaskan keputusan itu bukan kerana masalah disiplin ketika United bangkit menang 2-1 ke atas Manchester City di Stadium Etihad hasil jaringan lewat permainan.

Rashford beraksi selama 56 minit dalam kemenangan 2-1 ke atas Viktoria Plzen pada Jumaat lalu dalam saingan Liga Europa, manakala Garnacho dimasukkan sebagai pemain gantian.

Bagaimanapun, kelibat mereka tidak kelihatan ketika menentang City yang mana kedua-dua hanya menjalani latihan di pusat latihan pasukan pada pagi sebelum perlawanan.

Ditanya selepas perlawanan di Etihad, Amorim dengan tegas menyatakan keputusan itu bukan kerana isu disiplin, biarpun dia menyentuh mengenai piawaian baharu di Old Trafford.

“Minggu depan, perlawanan seterusnya, kehidupan baharu dan mereka perlu berjuang untuk merebut tempat.

“Bagi saya, apa yang penting adalah prestasi dalam latihan, prestasi dalam perlawanan, cara anda berpakaian, cara anda makan, cara anda berinteraksi dengan rakan sepasukan dan mendorong rakan sepasukan.

“Semua perkara sangat penting dalam konteks kami dan ia adalah permulaan untuk mengubah banyak perkara. Kami perlu meletakkan standard yang tinggi dan untuk itu mereka perlu berjuang mendapat tempat mereka dalam pasukan.

“Hari ini (semalam) kami membuktikan kami boleh mengetepikan sesiapa sahaja daripada skuad dan anda boleh menang jika anda bermain bersama,” jelas pengendali dari Portugal itu.

Tegas Amorim, beliau akan bercakap jujur jika ada masalah disiplin dengan mana-mana pemainnya.

Sementara itu, Bruno Fernandes yang menyudahkan sepakan penalti ketika menyamakan kedudukan memuji prestasi yang dipamerkan Amad Diallo yang memainkan peranan besar dalam kemenangan United.

“Dia tampil sangat baik dan melakukan perkara-perkara hebat, saya rasa masih ada banyak lagi yang mampu dia hasilkan. Apabila dia begini, sukar untuk menyekatnya,” kata Fernandes. -AGENSI