Perkeso, Mavcom kerjasama lindungi pekerja industri penerbangan

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bekerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi bertukar maklumat mengenai kewajipan berkanun penyedia perkhidmatan penerbangan.

Kerjasama itu merupakan usaha pertama Mavcom dengan badan berkanun mempercepatkan prosedur penguatkuasaan, membolehkan suruhanjaya menjalankan siasatan awal dan menangani ketidakpatuhan dalam kalangan pemegang lesen dan permit industri penerbangan.

Perkeso menyasarkan membina ekosistem menyeluruh dalam sektor penerbangan bagi kebolehpasaran pekerjaan, penempatan, dan latihan industri dengan memanfaatkan Portal MYFuture Jobs dan Program Active Labour Market yang sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, MoU itu memperkukuhkan pematuhan terhadap tiga rangka kerja perundangan yang penting.

“Dua daripadanya adalah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), yang memastikan perlindungan menyeluruh serta caruman yang adil dan saksama bagi semua pemegang lesen dalam sektor penerbangan.

“Selain itu, ia turut merangkumi pematuhan terhadap Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], yang menetapkan syarat-syarat pelesenan bagi penyedia perkhidmatan industri penerbangan di Malaysia.

“Kerjasama kami dengan Mavcom memperkenalkan penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran semasa dalam industri dan pada masa yang sama, mengurangkan kadar pengangguran negara.

“Kami memberi keutamaan kepada penempatan pekerja mahir Malaysia dalam peranan kritikal, yang secara efektifnya akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, di samping mengekalkan piawaian tinggi industri,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara Perkeso Dan Mavcom di sini, semalam.

Jelasnya, tonggak utama kerjasama strategik iti ialah Pusat Penerokaan Kerjaya Kebangsaan (NPCEC) yang akan dilancarkan pada tahun depan, merangkumi tiga komponen utama iaitu pusat fizikal, platform Metaverse NPCEC dan Karnival Kerjaya Metaverse.

“NPCEC akan berfungsi sebagai hab bantuan pekerjaan, menyediakan maklumat penting mengenai pasaran buruh serta panduan peralihan bagi pelajar dan graduan yang ingin memasuki sektor penerbangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi statistik terkini bayaran caruman kepada pencarum Perkeso adalah sebanyak RM3.02 juta.

Menurutnya, jumlah bayaran faedah tersebut, dibayar kepada 280 permohonan yang bagi kehilangan pekerjaaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, kerjasama itu merupakan langkah pertama ke arah memperkukuhkan kadar pematuhan serta mempercepatkan tindakan penguatkuasaan terhadap penyedia perkhidmatan penerbangan yang gagal menjelaskan caruman berkanun.

“Saya memuji Perkeso atas komitmen mereka dalam kerjasama ini yang menekankan matlamat bersama kami untuk melindungi kebajikan tenaga kerja dalam industri penerbangan.

“Suruhanjaya turut menggalakkan pekerja dalam sektor penerbangan yang memegang lesen atau permit yang dikeluarkan oleh MAVCOM untuk melaporkan sebarang salah laku melalui Borang Whistleblower yang tersedia di laman web kami, www.mavcom.my,” katanya.

Sempena pemeteraian MoU, PERKESO telah menganjurkan Karnival Kerjaya Penerbangan Mini MYFuture Jobs yang menampilkan enam pemain utama industri iaitu Menzies Aviation Malaysia, Turkish Aerospace Malaysia, Ikhlas.com, Santan (AirAsia Group), dan APR – Aviation Training Centre, dengan menawarkan 134 peluang pekerjaan merangkumi 14 kategori khusus. – UTUSAN