Brundo jadi sandaran Sri Pahang berdepan JDT

Sukan

KUANTAN: Stefano Brundo hampir pasti berada dalam kesebelasan utama Sri Pahang FC ketika bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, malam ini.

Kelibat pemain berusia 31 tahun itu menjadi taruhan utama Sri Pahang untuk berdepan Harimau Selatan selepas tersisih lama kerana mengalami kecederaan.

Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad berkata, aksi di SSI diharap menjadi pentas terbaik untuk Brundo kembali pada prestasi sebenar untuk membantu barisan hadapan mencetak gol.

“Brundo Insya-Allah akan beraksi kalau tiada masalah dengan kecederaannya.” Kata Fandi kepada pemberita, semalam.

Sekiranya berada dalam kesebelasan utama, sudah pasti pemain tengah itu akan bergandingan bersama Azam Azih dan Manual Hidalgo.

Dalam masa yang sama, Kpah Sherman dan Mykola Ahapov sekali lagi menjadi taruhan terbaik untuk cuba merobek gawang JDT selain beberapa pemain lain yang juga mampu mencetak gol.

Selain Brundo, Fandi tidak menolak akan kemungkinan akan melakukan beberapa perubahan melibatkan anak buatnya.

Katanya, faktor keletihan juga perlu di ambil kira kerana Sri Pahang baru sahaja beraksi menentang Perak FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

“Mungkin ada perubahan di kesebelasan kita memandangkan perlawanan kedua Piala Malaysia agak terlalu dekat dan kita tetap akan usahakan yang terbaik,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.

“Pemain perlu berikan keyakinan untuk memberi dalam 200 peratus untuk saingi kekuatan JDT. Mudahan kita ada peluang mencuri mata itu matlamat kita,” kata Fandi.