Jualan kenderaan import terpakai diunjur lebih 40,000 unit pada 2025

Perniagaan

CYBERJAYA: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menjangka jualan kereta import terpakai mampu mencecah lebih 40,000 unit tahun depan.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, unjuran yang cukup positif tersebut turut berdasarkan prospek trend perniagaan kenderaan berkenaan sepanjang tahun ini.

“Justeru jika dilihat senario itu, kami boleh merumuskan bahawa pada 2025 nanti angka penjualan masih lagi berlegar menghampiri 50,000 unit,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, beliau menandatangani memorandum persefahaman dimeterai antara Pekema dan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk kerjasama strategik bidang industri automotif, disusuli penyerahan cek geran untuk tiga kajian berbeza yang bakal dilaksanakan penyelidik institusi itu serta penyampaian program biasiswa Pekema dengan jumlah RM32,000.

UUM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan serta disaksi Penasihat Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman dan wakil dari Kementerian Pendidikan Tinggi.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazari berkata, secara umumnya, jualan kenderaan ‘recond’ atau terpakai dari luar negara jarang melepasi 10 peratus jumlah industri keseluruhan (TIV).

“Sehubungan itu Pekema menilai bagi tahun depan pula, sasaran ideal sekitar enam peratus daripada TIV atau kira-kira 40,000 sehingga 45,000 unit bagi pelbagai model,” jelasnya.

Menyentuh potensi kenderaan elektrik (EV), beliau optimis masa depan jenis berkenaan bakal menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat negara ini terutamanya generasi muda.

Oleh itu ujarnya, Pekema menyeru lebih 300 ahlinya agar bersiap sedia awal dengan trend peralihan daripada model konvensional yang berenjinkan petrol atau diesel kepada EV.

Malah Mohamed Nazari tidak menolak kemungkinan bahawa masyarakat akan perlu membeli EV jika pihak kerajaan terus menstrukturkan balik harga runcit bahan bakar di pasaran

Sejak tahun lepas lagi tambah beliau, Pekema sudah memantau perkembangan isu tersebut dan tidak terkejut sekiranya subsidi bagi petrol dikurangkan atau langsung dimansuhkan.

“Kami sendiri sudah pun meminta ahli-ahli Pekema melihat peluang itu bahkan Pekema turut menceburi jualan EV dengan menjadi pengedar jenama Dongfeng dari China,” katanya.

Apatah lagi jelasnya, langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuka banyak permohonan untuk permit import (AP) juga mencetuskan persaingan sengit.

Dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak 1 Julai lalu itu namun tegasnya, amat berisiko kepada peniaga baharu apabila terpaksa membayar fi import sebanyak RM10,000 seunit.

Mohamed Nazari bagaimanapun menganggarkan usaha itu sebagai sumbangan Pekema kepada negara apabila MITI dijangka mampu meraih kutipan hasil lebih RM500 juta setahun.

Ditanya mengenai kerjasama dengan UUM pula, beliau berkata, ia lebih kepada sesi libat urus pihak industri bersama tenaga akademik dalam isu penyelidikan dan pembangunan. – UTUSAN