Young Tigress rancang siri jelajah sebelum ke Piala Dunia Remaja

Sukan

PETALING JAYA: Skuad hoki remaja wanita negara dijangka bakal mengadakan siri jelajah sebagai persiapan mereka bagi menghadapi Piala Dunia Remaja 2025 di Chile.

Perkara itu disahkan oleh pengurus pasukan, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samat sebaik sahaja Young Tigress melayakkan diri ke kejohanan itu secara merit buat kali pertama dalam sejarah.

“Alhamdulillah Malaysia layak ke Piala Dunia Remaja. Kita balik akan merancang sesuatu mungkin mengadakan siri jelajah untuk memberi pemain lebih banyak pengalaman.

“Perkara pertama selepas ini adalah kita akan mengambil bahagian dalam liga kebangsaan (Liga Hoki Malaysia) yang akan disertai kelab terkemuka di Malaysia. Saya berharap pemain dapat lebih banyak pengalaman untuk menghadapi Piala Dunia Remaja,” katanya.

Malaysia layak beraksi di Piala Dunia Remaja 2025 selepas muncul pasukan kelima terbaik di Piala Remaja Asia 2024 yang menawarkan slot ke kejohanan tersebut dan selain Young Tigress, India, China, Korea Selatan dan Jepun turut mara.

Skuad kendalian Lailin Abu Hassan itu menepati ramalan apabila menewaskan Thailand 6-0 dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Oman, Muscat, kelmarin.

Mengulas lanjut, Lailin mengakui berpuas hati dengan kesungguhan pemainnya untuk mencipta kemenangan memandangkan matlamat mereka beraksi di kejohanan tersebut adalah melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2025.

“Kejohanan ini saya lihat ramai pemain muda berkaliber dan menunjukkan prestasi yang amat baik. Kita perlu pandang ke hadapan untuk memberi latihan kepada mereka bagi menghadapi kejohanan yang besar iaitu piala dunia pada tahun hadapan,” katanya.-UTUSAN