Sze Fei-Izzuddin paling menyerlah 2024

Sukan

PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menutup musim ini selaku pemain terbaik Malaysia dengan lonjakan ranking tertinggi dalam karier mereka di tangga No. 3 dunia selepas Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China menutup tirai, kelmarin.

Mereka merampas kedudukan sebagai beregu No. 1 Malaysia daripada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang jatuh satu anak tangga ke ranking No. 6 dunia.

Prestasi baik dipamerkan Sze Fei-Izzuddin dan perkembangan positif Aaron-Wooi Yik sepanjang di Hangzhou, walaupun, gagal ke separuh akhir gara-gara peraturan baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), bakal menjanjikan musim 2025 sesuatu yang menerujakan buat peminat menjelang Terbuka Malaysia pada 7-12 Januari depan.

Dalam sektor beregu lelaki sahaja, dengan diketuai naib juara Jelajah Dunia Akhir, Sze Fei-Izzuddin, Malaysia dijangka mempunyai sekurang-kurangnya tujuh wakil di peringkat 32 terbaik pada kejohanan Super 1,000 itu yang merupakan pertandingan pembuka musim.

“Musim ini, kami bermain dengan cukup baik dan berjaya mencatat sesuatu yang kami tidak pernah capai sebelum ini. Kami berharap dapat bermain lebih baik pada tahun depan,” kata Izzuddin yang memberikan markah 10/10 kepada pencapaian dia dan Sze Fei bagi musim 2024.

Sze Fei pula mengharapkan rentak yang lebih sempurna dapat di bawanya ke tahun hadapan selepas merangkul tiga gelaran, musim ini, iaitu Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Arctic.

Selain beregu lelaki, beregu campuran juga menunjukkan satu perubahan drastik yang amat positif pada ketika tahun 2024 semakin tiba di penghujung jalan.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengetuai cabaran beregu campuran selepas ranking mereka kini naik ke kedudukan No. 6 dunia, dengan diikuti, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang mengekori di belakang di tangga No. 7 dunia.

Selain dua pasangan itu, Malaysia juga mempunyai dua lagi wakil yang berada di dalam kelompok 32 terbaik dunia iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (No. 20 dunia) dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (No. 21 dunia) yang merupakan naib juara China Masters.

Sementara itu, untuk sektor perseorangan lelaki, kecederaan serius ligamen buku lali yang menimpa Lee Zii Jia bakal menyebabkan kelibat jaguh No. 6 dunia itu pada Terbuka Malaysia berkemungkinan besar tidak dapat disaksikan.

Tanpa anak jati Kedah itu, pemain ke-29 dunia, Leong Jun Hao akan menggalas cabaran negara pada Terbuka Malaysia dengan Ng Tze Yong dijangka kembali selepas pulih daripada kecederaan belakang.

Bagi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah kekal di ranking No. 6 dunia dan mengekalkan status pasangan No. 1 negara, manakala, Goh Jin Wei yang berada di tangga ke-43 dunia masih perseorangan wanita terbaik Malaysia.

ends.