PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) termasuk Mufti Selangor, Datuk Setia Dr. Anhar Opir.
Dua lagi yang dilantik semula adalah Timbalan Presiden Penyelidikan Universiti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Dr Marjan Muhammad dan Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Bhd., Dr Ahmad Basri Ibrahim.
Anhar dilantik semula dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026, Marjan dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2027, dan Ahmad Basri dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
Pelantikan tersebut dibuat mengikut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
BNM berkata, dengan pelantikan semula ini, MPS akan dibarisi tujuh ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang syariah, kewangan Islam dan undang-undang.
Ahli MPS lain termasuk Profesor Universiti INCEIF, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim sebagai Pengerusi dan Profesor Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali sebagai Timbalan Pengerusi.
Sementara itu, BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd. Zawawi Salleh dan Zainal Abidin Jamal atas sumbangan yang tidak ternilai semasa tempoh perkhidmatan mereka.
“Mohd. Zawawi akan melengkapkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2024, sementara Zainal Abidin telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan beliau pada 31 Oktober 2024.
“Mohd. Zawawi dan Zainal Abidin telah memberikan sumbangan besar kepada perbincangan MPS dan keseluruhan pembangunan kewangan Islam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.
MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam.
Keputusan syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah.
Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.
Oleh itu, MPS memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kepastian amalan syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam. – UTUSAN