Sandakan Drag Battle R3 2024 tiada kelulusan

Sukan

PETALING JAYA: Saban tahun ada sahaja insiden yang meragut nyawa melibatkan perlumbaan drag dan yang terbaharu seorang pelumba, Abang Adib Haji Abang terkorban selepas terbabit dalam kemalangan sewaktu menyertai STC Drag Race Track di Sandakan, Sabah, Sabtu lalu.

Allahyarham berasal dari Brunei yang merupakan anggota Team Prostreet KB dikatakan gagal mengawal kereta yang dipandunya sebelum terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dalam kenyataan media, kelmarin, menzahirkan ucapan dukacita kepada ahli keluarga Allahyarham di atas pemergian Abang Adib.

Kata kenyataan itu, acara Sandakan Drag Battle R3 2024 tidak mendapat kelulusan atau dikawal selia (‘sanctioned’) oleh pihak MAM dan penganjur acara tersebut bukan ahli kelab gabungan MAM.

“Penganjur dan peserta yang ingin terlibat di dalam sukan permotoran harus memastikan setiap acara dianjurkan mendapat kelulusan dan dikawal selia oleh MAM selaku badan induk sukan pemotoran negara.

“Acara-acara yang dikawal selia oleh MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Sukan Pemotoran Antarabangsa (FIM) berkaitan dengan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, bagi meningkatkan keselamatan dan profesionalisme sukan permotoran tempatan, MAM juga telah memperkenalkan garis panduan komprehensif untuk kategori perlumbaan drag, Ogos lalu.

Jelas kenyataan itu lagi, garis panduan tersebut yang telah diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), meliputi aspek pengenalan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi sukan permotoran drag.

“Pelaksanaan garis panduan tersebut untuk memupuk suasana sukan permotoran yang lebih teratur dan selamat di Malaysia, selain, dapat mengurangkan risiko kemalangan seterusnya meningkatkan pelaksanaan aktiviti sukan bermotor yang terkawal serta selamat,” ujar kenyatan tersebut.

Pada tahun lalu, seorang pelumba drag, Muhammad Hattem Rashdi, 22, terbunuh selepas Allahyarham hilang kawalan ketika beraksi di Litar Speedway Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Sementara itu, pada Oktober 2022 pula, seorang pelumba drag terkorban sewaktu menyertai Battle of The King (BOTK) di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu dan dua bulan selepas keadian itu, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut kerana dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.-UTUSAN