Tiga tugas besar menanti Nafuzi

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali baharu skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain akan berdepan tiga tugas besar bermula tahun hadapan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, sentuhan jurulatih berusia 46 tahun itu diharap dapat membuat skuad B-23 tampil lebih garang di peringkat antarabangsa.

“Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC itu dilantik bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

“FAM berharap sentuhan Nafuzi, skuad muda negara mampu tampil garang semula di pentas dunia dengan tiga kejohanan penting bakal disertai tahun depan.

“Kredibiliti Nafuzi ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.

“Dengan kehadiran Nafuzi ini, pastinya tugasan penting untuk skuad B-23 pada tahun 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand,” kata FAM.

Reputasi Nafuzi dalam membimbing pemain muda sememangnya tidak mampu dipertikai apabila berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali pada 2011, 2013 dan 2015.

Selain itu, Nafuzi juga turut menyerlah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika membimbing Terengganu pada 2019 hingga 2022.

Pelantikan Nafuzi ini merupakan sebahagian daripada projek revolusi penstrukturan semula pengurusan Harimau Malaya yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.