Dua gol Fortes bantu Selangor benam Perak

Sukan

LUMUT: Selangor FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas menundukkan Perak FC  2-1 dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Sebaliknya, kekalahan itu menyaksikan Perak kemarau kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut.

Dua jaringan Alvin Fortes masing-masing pada babak pertama dan kedua perlawanan membolehkan Selangor mengumpul 35 mata daripada 16 perlawanan setakat ini.

Pada perlawanan di sini, Selangor membuka jaringan menerusi Fortes pada minit ke-41 selepas mudah menolak masuk bola hantaran Quentin Cheng dari sebelah kanan.

Fortes menggandakan kedudukan buat Selangor menerusi gol keduanya pada minit ke-71 selepas menerima hantaran ke belakang oleh Alexander Ameyaw.

Perak cuba bangkit dan berjaya menjaringkan gol menerusi rembatan Wan Zack Haikal dalam kotak penalti pada minit ke-89.

Pasukan tuan rumah menggandakan serangan pada babak-babak akhir perlawanan untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan namun gagal membolosi jaring lawan sehingga tamat permainan. – UTUSAN