Thailand benam Singapura 4-2, Malaysia tarik nafas lega

Sukan

PETALING JAYA: Thailand bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Singapura 4-2 dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional, Kallang, sebentar tadi.

Kemenangan berkenaan membolehkan Thailand mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila mengutip sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan untuk menerajui Kumpulan A.

Dengan keputusan itu, Harimau Malaya juga boleh menarik nafas lega, namun anak-anak buah Pau Marti Vicente wajib menewaskan Singapura pada aksi terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Singapura Ketika ni kekal di kedudukan kedua dengan enam mata, dua mata di depan Kemboja dan Malaysia yang terikat empat mata untuk menghuni tangga ketiga dan keempat.

Beraksi di gelanggan lawan, Thailand dikejutkan dengan jaringan Shawal Anuar yang melakukan rembatan dari luar otak penalti selepas menerima hantaran daripada penjaga gol, Izwan Mahbud.

Skrip sama berulang pada minit ke-33 apabila Singapura meraih gol kedua menerusi Faris Ramli yang juga melakukan rembatan Jarak jauh untuk menumpaskan penjaga gol Thailand.

Tersentak dengan jaringan itu, Thailand memperkemaskan rentak permainan dan Berjaya merapatkan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Patrik Gustavsson.

Bersambung babak kedua, Thailand tidak menunggu lama apabila Suphanat Mueanta meledak gol penyamaan pada minit ke-52 menerusi tandukan hasil umpanan Anan Yodsangwal.

Thailand berjaya berada di depan pada minit ke-70, namun jaringan Pansa Hemviboon dibatalkan selepas pengadil selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Kekecewaan Thailand bagaimanapun terubat pada masa kecederaan selepas jaringan Peeradon Chamratsamee yang pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid kemudian diiktiraf selepas pengadil meneliti VAR.

Ketika Singapura memburu gol penyamaan, Thailand sekali bijak memanfaatkan peluang apabila pemain gantian, Teerasak Poeiphimai mengesahkan kemenangan Thailand apabila meledak gol keempat untuk perlawan berakhir 4-2.-UTUSAN