KUALA LUMPUR: Keputusan Kuala Lumpur (KL) City FC memanggil pulang kaptennya, Poulo Josue membuahkan hasil apabila pemain Harimau Malaya itu meledak satu gol ketika mambantu pasukan membenam Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, Josue tidak menunggu lama untuk membuktikan ketajaman penyudahnya apabila penyerang kelahiran Brazil itu meledak gol pembukaan menerusi sepakan lencong menarik dari dalam kotak penalti pada minit kesembilan.
Tidak cukup dengan jaringan itu, Josue turut menjadi pencetus jaringan kedua anak-anak buah Miroslav Kuljanac apabila sepakan penjurunya disudahkan dengan tandukan pemain tengah, Brendan Gan.
Selain Josue, KL City FC turut memanggil pulang pemain pertahanan, Declan Lambert yang berada dalam skuad Harimau Malaya sempena Piala ASEAN 2024 bagi memperkuatkan skuad The City Boys untuk aksi menentang Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan yang dibimbing K. Nanthakumar berjaya merapatkan kedudukan menerusi Jacque Faye pada minit ke-36 yang menanduk masuk bola sepak sudut Takumi Sasaki.
Bagaimanapun, tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan pada babak kedua meskipun kedua-dua pasukan memiliki beberapa peluang yang menyaksikan keputusan 2-1 memihak KL City kekal hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan KL City naik satu anak tangga ke kedudukan kelapan dengan mengumpul 17 mata manakala Negeri Sembilan ditangga tercorot dengan enam mata selepas 15 perlawanan.-UTUSAN