Harga CPO dijangka kekal melebihi RM4,800

Perniagaan

PETALING JAYA: Pemulihan harga minyak kacang soya dijangka memberikan sokongan berterusan kepada harga minyak kelapa sawit (CPO), mengekalkannya melebihi RM4,800 pada Disember.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, sejauh mana kenaikan harga itu bergantung kepada keadaan bekalan di Malaysia dan Indonesia.

“Ini terutamanya jika musim monsun yang teruk berterusan sepanjang Disember, seterusnya mengganggu pengeluaran. Tambahan pula, harga tenaga yang rendah akan menjadi faktor penghalang kepada kenaikan harga minyak kelapa sawit.

“Hal ini kerana minyak kelapa sawit kekal AS$400 (RM1,779.05) per tan lebih mahal berbanding minyak gas, memerlukan subsidi kerajaan yang besar untuk menjadikan minyak sawit sesuai bagi campuran biodiesel,” katanya.

Jelasnya, pengeluaran minyak sawit Malaysia mencatatkan trend penurunan sejak September, selepas pertumbuhan pesat dalam lapan bulan pertama tahun ini.

“Pada November, eksport minyak sawit menurun sebanyak 14.7 peratus kepada 1.48 juta tan. Bagaimanapun, eksport pada November 2024 meningkat sebanyak 5.7 peratus, mencapai jumlah eksport kedua tertinggi bagi November sejak 2018.

“Dari Januari hingga November 2024, eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 1.66 juta tan (12.8 peratus) dan dijangka mencecah 16.8 juta tan bagi keseluruhan tahun,” katanya.

Melihat ke hadapan, MPOC berkata, permintaan minyak sawit pada Disember dijangka kekal stabil kerana pengimport membuat stok simpanan menjelang pelaksanaan mandat biodiesel B40 Indonesia pada Januari 2025.

“Ia juga berikutan potensi semakan semula struktur levi eksport minyak sawit Indonesia dalam bulan-bulan akan datang.

“Selain itu, hujan lebat dan banjir kilat di Malaysia serta wilayah Kalimantan, Indonesia pada akhir November telah mengganggu aktiviti penuaian dan pengeluaran.

“Dengan musim monsun dijangka berterusan hingga Disember, pengeluaran minyak sawit Malaysia dijangka terus menurun, berkemungkinan mengakhiri tahun dengan stok simpanan sebanyak 1.8 juta tan, 21 peratus lebih rendah daripada 2.29 juta tan yang dicatatkan pada Disember 2023.

“Semua faktor ini menyokong kenaikan harga minyak sawit kerana ia akan mengehadkan bekalan eksport minyak sawit,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, harga minyak kacang soya AS telah jatuh ke paras terendah sejak 2020, menjadikannya minyak sayuran paling murah di peringkat global.

“Perubahan harga ini dipengaruhi oleh dasar biofuel yang tidak jelas di bawah pentadbiran Donald Trump serta pengeluaran kacang soya global yang melonjak bagi musim semasa.

“Sehingga 11 Disember 2024, minyak kacang soya AS berharga AS$45 (kira-kira RM204.59) dan AS$6 (kira-kira RM26.68) per tan lebih rendah berbanding minyak kacang soya di Brazil dan Argentina masing-masing.

“Berbanding dengan olein sawit Malaysia dan minyak rapeseed dari Eropah, minyak kacang soya AS adalah AS$164 (kira-kira RM729.41) dan AS$134 (kir-kira RM585.98) per tan lebih murah.

“Harga minyak kacang soya AS dijangka akan pulih dengan cepat sebaik dasar biofuel AS diperjelaskan, mendorong pengeluar biofuel untuk menyambung semula pembelian dan sekali gus menaikkan harga minyak kacang soya,” katanya.

Dengan penarikan balik rebat cukai 13 peratus ke atas eksport UCO (minyak masak terpakai) oleh China bermula 1 Disember 2024, kos import UCO ke AS menjadi lebih tinggi.

“AS telah mengimport 1.07 juta tan UCO dari China antara Januari hingga Oktober 2024, yang menyumbang 34 peratus daripada bahan suapan UCO yang digunakan dalam pengeluaran biodiesel.

“Akibatnya, penggunaan minyak kacang soya dalam industri biofuel AS dijangka meningkat secara berterusan dalam bulan-bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN