Penganjur sukan permotoran perlu utamakan keselamatan

Sukan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru semua penganjur sukan permotoran untuk mengutamakan keselamatan peserta dalam setiap acara yang dianjurkan.

Hannah berkata, MAM telah berusaha keras mengeluarkan garis panduan untuk membantu penganjur, termasuk untuk acara drag dan berharap semua pihak akan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama.

“Kematian pemandu itu saya ucapkan takziah kepada keluarga. Walaupun kita telah keluarkan garis panduan untuk kurangkan insiden seperti ini tetapi kejadian seperti ini masih berlaku.

“Kita telah jelaskan bahawa semua pertandingan seperti ini perlukan sanction (kawal selia),” kata Hannah ketika ditemui pada Sesi Penyerahan Projek Naiktaraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Sebelum ini, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) memaklumkan acara Sandakan Drag Battle R3 2024 yang menyebabkan seorang pelumba maut pada Sabtu lalu tidak mendapat kelulusan.

Mengulas lanjut, Hannah juga memberi amaran bahawa penganjur yang gagal mengikuti garis panduan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda yang boleh mencecah sehingga RM500,000.

“Siasatan polis sedang dijalankan, dan selepas itu, MAM akan memberikan maklumat terkini mengenai tindakan yang akan diambil terhadap penganjur yang tidak mematuhi peraturan.

“Semua pihak harus bekerjasama untuk memastikan setiap pertandingan, baik yang besar atau kecil, dilaksanakan dengan kawalan selia yang lebih ketat demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” tambahnya.-UTUSAN