PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari), melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd, dan Mastercard mengumumkan kerjasama untuk mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Asia Pasifik.
Kedua-dua syarikat itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk sama-sama meneroka pengiklanan, pemasaran dan promosi lain, serta peluang untuk melaksanakan penyelesaian pembayaran digital yang selamat dan dipertingkatkan u ntuk mempromosikan penerimaan EV yang inklusif dalam pengangkutan awam dan menyokong pengurangan karbon.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gentari dan Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata, kepakaran Mastercard dalam penyelesaian pembayaran digital inovatif yang mendorong pertumbuhan mampan dan inklusif sejajar dengan visi Gentari untuk memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan dan pengalaman pelanggan.
“Melalui Gentari Go, kami menyediakan akses tanpa halangan kepada penyelesaian tenaga bersih dari solar rumah hingga mobiliti hijau, termasuk perantauan EV merentas sempadan.
“Dengan teknologi pembayaran maju dan capaian luas Mastercard, kami teruja untuk meneroka bagaimana dapat menghubungkan lebih ramai orang dan komuniti ketika syarikat berusaha untuk menjadi rakan penyelesaian mobiliti hijau yang paling dihargai di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Gentari sedang mempercepat peralihan kepada pengangkutan mampan dengan mengaktifkan rangkaian stesen pengecas EV yang dimiliki dan disambungkan, menangani kebimbangan jarak serta mempromosikan pengecasan yang pantas dan mudah diakses serta memastikan keselamatan, kebolehpercayaan, kemudahan dan nilai untuk pelanggan.
“Gentari kini mengendalikan rangkaian pengecasan arus terus (DC) berlesen terbesar di Malaysia, dengan lebih 170 titik pengecasan DC (CP) daripada hampir 1,000 CP di Malaysia, Thailand dan India. Gentari juga menawarkan rangkaian lebih 3,800 EV yang digunakan melalui tawaran Vehicle-as-a-Service (VaaS) di Malaysia, Indonesia dan India,” katanya.
Jelas Shah, kerjasama itu akan memanfaatkan keupayaan pembayaran digital Mastercard dan kepakarannya dalam menyediakan penyelesaian pembayaran yang mudah dan lancar dalam sektor mobiliti, termasuk dalam ruang EV.
“Di peringkat global, penyelesaian mobiliti bandar Mastercard telah membolehkan pengalaman pembayaran yang lancar dan intuitif bagi pemandu dalam pengisian bahan bakar, parkir, pembayaran tol dan pengecasan EV.
“Dalam ruang EV, Mastercard telah bekerjasama dalam penyelesaian terminal pembayaran universal yang akan menetapkan piawaian pembayaran baru untuk pengecasan EV di Eropah dan meningkatkan pengalaman pembayaran pengguna di stesen pengecasan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Negara, Malaysia dan Brunei, Mastercard, Beena Pothen berkata, mobiliti elektrik adalah penting untuk membentuk bandar dan ekonomi mampan pada masa depan.
“Dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi baharu serta usaha bersama, kita boleh mendorong pembangunan infrastruktur EV yang lancar. Ini akan mempermudah pengalaman pengecasan dan pembayaran adalah langkah penting dalam menggalakkan penerimaan pengguna dan mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik.
“Kerjasama dengan Gentari mencerminkan visi ini, selaras dengan komitmen Mastercard untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 dan menyokong matlamat kerajaan Malaysia untuk digitalisasi yang lebih besar dan pelaksanaan ESG,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama ini menandakan satu peristiwa penting bagi Mastercard dan Gentari dalam menyokong Pelan Induk Mobiliti Karbon Rendah 2021-2030 dan Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara Malaysia.
“Inisiatif ini menggariskan agenda kemampanan negara melalui pelbagai langkah termasuk kemajuan EV di seluruh rantai bekalan-tuntutan untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan membangunkan Malaysia menjadi ekonomi hijau bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN