PETALING JAYA: Vanzo Holdings Bhd. (Vanzo) memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 17.5 sen sesaham, premium 2.5 sen atau 16.7 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 15 sen sesaham.
Vanzo telah berjaya mengumpul hampir RM21 juta daripada IPO, dimana hasil kasar daripada terbitan awam berjumlah RM14 juta akan diperuntukkan kepada Vanzo.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Vanzo, Allan Wong berkata, daripada hasil itu, Vanzo akan menggunakan 47.2 peratus atau sebanyak RM6.6 juta daripada hasil tersebut untuk membiayai pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasaran.
“Selain itu, 21.4 peratus atau RM3 juta akan digunakan untuk pembayaran semula pinjaman bank. Baki hasil pula akan digunakan sebagai modal kerja dan bagi menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
“Melalui anak syarikat, Vanzo terlibat secara utama dalam reka bentuk, pemasaran, dan penjualan produk wangian udara serta produk berkaitan wangian.
“Pada masa ini, syarikat memiliki enam kiosk runcit di Malaysia, di mana lima daripadanya terletak di pusat membeli-belah di Lembah Klang dan satu lagi terletak di Kuching, Sarawak,” katant dalam kenyataan.
Ke hadapan, beliau berkata, Vanzo bercadang untuk mengukuhkan kehadiran pasaran syarikat dengan memperluas rangkaian kiosk runcitnya di seluruh Malaysia.
“Oleh itu, Vanzo merancang untuk menubuhkan empat kiosk runcit baharu di wilayah Utara, Tengah, atau Selatan Semenanjung Malaysia, dan satu lagi di Malaysia Timur.
“Vanzo telah menyediakan strategi dan rancangan untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan syarikat, termasuk memperkukuhkan lagi jenama melalui pelaburan dalam aktiviti pemasaran dan promosi serta memperluas rangkaian produk Vanzo.
“Selain itu, syarikat juga berhasrat untuk meningkatkan capaian pengedarannya dengan mengembangkan saluran jualannya,” katanya. – UTUSAN