Cklamovski, Nafuzi kena ‘satu kepala’

Sukan

PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali percaya ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski dan pengendali pasukan bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain perlu bergerak seiring bagi memantapkan Harimau Malaya.

Bekas pemain Selangor itu berkata, kedua-dua individu tersebut merupakan dua watak penting dalam menentukan corak permainan Harimau Malaya pada masa akan datang.

“Dia (Cklamovski) mempunyai pengalaman yang sangat baik dan saya harap dengan pengalaman yang ada, dia dapat menterjemahkan segala usaha untuk memperbaiki kelemahan dalam pasukan Harimau Malaya.

“Sudah pasti kita nak lihat sasaran berada dalam kelompok ranking 100 dunia disempurnakan. Bantuan daripada FAM seperti yang diumumkan semalam memang bagus dan ini adalah langkah ke depan untuk era Harimau Malaya yang lebih baik.

“Nafuzi pula ada pengalaman yang mana dia pernah curahkan bersama pasukan seperti Terengganu dan Kedah, malah dia mampu bawa pasukan dengan baik.

“Apa yang penting, Nafuzi dan Cklamovski dapat bekerjasama dengan baik dan kita akan dapat satu pasukan junior yang betul-betul selari dengan pasukan senior,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman jalinan kerjasama FAM dan Konami eFootball di sini semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan FAM mengumumkan pelantikan Cklamovski sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya dengan pengendali dari Australia itu akan mengambil alih tugas Pau Marti Vicente bermula 1 Januari depan.

Nafuzi yang juga bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC pula bakal menggantikan tempat Juan Torres Garrido dalam skuad B-23.-UTUSAN