Perdagangan catat nilai tertinggi bagi tempoh 11 bulan

Perniagaan

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan pada tempoh Januari hingga November 2024 merekodkan nilai tertinggi bagi tempoh tersebut, berkembang sebanyak 8.7 peratus kepada RM2.62 trilion berbanding tempoh yang sama 2023, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Matrade berkata, eksport meningkat 4.7 peratus kepada RM1.37 trilion dan import naik 13.3 peratus kepada RM1.25 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM117.94 bilion.

Katanya, ini meletakkan negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi perdagangan, eksport dan import pada 2024, dengan sasaran masing-masing sebanyak 9.4 peratus, 5.6 peratus dan 13.8 peratus

“Sementara itu, perdagangan pada November 2024 merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-11 bulan berturut-turut, berkembang sebanyak 2.9 peratus kepada RM237.85 bilion.

“Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, naik 4.1 peratus kepada RM126.57 bilion dan import bertambah 1.6 peratus kepada RM111.28 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Matrade memberitahu, lebihan dagangan kembali pulih dengan kenaikan dua digit sebanyak 26.3 peratus kepada RM15.29 bilion, nilai tertinggi dicatatkan dalam tempoh 14 bulan sejak Oktober 2023 dan merupakan lebihan dagangan yang ke-55 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.

Jelasnya, eksport yang kukuh pada November 2024 ini telah disokong oleh pertumbuhan yang pesat dalam sektor utama, khasnya barangan perkilangan dan keluaran pertanian, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

“Sementara itu, eksport ke Amerika Syarikat (AS) melonjak kepada rekod tertinggi baharu dan eksport ke Taiwan, Province of China (POC) mencatatkan peningkatan ketara, didorong oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E terutamanya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs).

“Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) telah menyemak semula unjuran jualan semikonduktor global bagi tahun 2024 kepada 19 peratus berbanding anggaran awal 16 peratus, disumbangkan oleh prestasi yang lebih kukuh dalam sektor E&E,” ujarnya.

Sementara prestasi eksport negara terus mencatatkan perkembangan positif, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Matrade terus komited untuk meningkatkan lagi pertumbuhan eksport dengan mempergiatkan usaha promosi serta penerokaan pasaran baharu secara lebih proaktif demi kejayaan eksport Malaysia. – UTUSAN