Pau Marti akan selesaikan tugas Piala ASEAN 2024

Sukan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan peranan Pau Marti Vicente tidak akan terjejas sekiranya skuad kebangsaan layak ke pentas akhir Piala ASEAN 2024 yang di jadual berlangsung pada Januari 2025.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, biarpun Peter Cklamovski memulakan tugas sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya pada 1 Januari depan, tiada pertindihan tugas akan berlaku dalam skuad kebangsaan.

“Saya fikir Pau Marti punya tugas untuk membawa pasukan kebangsaan dalam kempen Piala ASEAN. Jadi, saya fikir sekiranya kita dapat melangkah jauh pun tentu sekali dia akan meneruskan tugasnya sehingga tamat kejohanan.

“Walaupun kita ada jurulatih baharu tetapi itu adalah membentuk pasukan yang baharu untuk kelayakan Piala Asia 2027. Jadi, untuk satu atau dua perlawanan di Piala ASEAN 2024, saya fikir Pau Marti akan meneruskan tugasnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman jalinan kerjasama FAM dan Konami eFootball, di sini semalam.

Kelmarin, FAM mengumumkan pelantikan jurulatih kelahiran Australia itu sebagai pengendali baharu Harimau Malaya dengan misi utamanya memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2027.

Dalam masa yang sama, Yusoff turut mengesahkan Pau Marti tidak berada dalam perancangan FAM di masa hadapan untuk penstrukturan organisasi skuad bola sepak kebangsaan.

Mengulas tentang kontrak Cklamovski, Yusoff mengakui beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai tempoh kontrak jurulatih itu, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan dia akan membimbing Harimau Malaya sekurang-kurangnya setahun.

“Saya belum dapat maklumat yang sempurna cuma saya tahu dia akan mulakan tugasnya pada 1 Januari 2025 tapi saya fikir kontrak biasanya akan berlaku paling tidak satu atau dua tahun, tak kan enam bulan. Minimum setahun dan dalam kes ini mungkin lebih lama, saya tak pasti.

“Setakat ini dia datang seorang namun barisan kejurulatihan sekarang akan digugurkan maknanya kita akan ada barisan kejurulatihan yang baharu cuma tidak mengumumkannya lagi.

“Biasanya apabila ada jurulatih dari luar kita akan ada pembantu jurulatih tempatan untuk membantunya memberi input mengenali pemain dengan lebih baik,” katanya.-UTUSAN