Saya tidak suka gawang dibolosi- Bidoglio

Sukan

ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak berpuas hati apabila pasukannya bergelut untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Jaringan sendiri oleh pemain pertahanan lawan serta dua gol rembatan padu dan sepakan penalti Bergson Da Silva menghadiahkan tiga mata buat skuad Harimau Selatan.

Bidoglio juga mengakui anak buahnya hilang fokus apabila membenarkan skuad Tok Gajah menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, iaitu seminit selepas Bergson menjaringkan gol kedua buat Harimau Selatan.

“Pada babak pertama kita tidak berjaya menembusi benteng ampuh Tok Gajah yang cukup padat dan tidak memberi ruang bagi kita menjana serangan.

“Pada babak kedua pula, kami mengubah strategi dengan meletakkan ‘wing back’ di posisi lebih jauh untuk menarik pertahanan mereka, dari situlah kita dapat melakukan serangan dari bahagian tengah.

“Walaupun berjaya mengutip tiga mata, saya tidak suka apabila gawang dibolosi. Ini memberi petanda kepada pemain supaya lebih fokus pada setiap detik dan tidak memberi ruang kepada lawan menghukum kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Argentina itu berkata, corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad menyebabkan Arif Aiman Hanapi dilihat serba tidak menjadi pada perlawanan itu.

Walaupun pemain sayap itu tidak menjaringkan gol, namun dia masih melakukan tugas penting dengan mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan bermain secara sepasukan bahkan menghadiahkan penalti kepada JDT.

“Saya tahu bukan mudah untuk kekalkan tahap terbaik pada semua permainan, terutamanya dalam perlawanan yang sukar namun Arif Aiman tetap berusaha keras hingga ke wisel penamat,” katanya.

JDT mempunyai satu lagi perlawanan penting berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) bagi aksi suku akhir Piala Malaysia, Sabtu ini dan mahu memastikan kemenangan, sekali gus menutup aksi tahun 2024 dengan cemerlang.-UTUSAN