Aksi berdepan Singapura penentu ‘nyawa’ Malaysia

Sukan

PETALING JAYA: Pertembungan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia menentang Singapura esok bakal menjadi penentu pasukan mana bakal mara ke separuh akhir kejohanan itu.

Justeru, penyerang Harimau Malaya, Sergio Aguero, menyeru rakan-rakan sepasukannya berjuang habis-habisan bagi memastikan skuad kebangsaan masih ‘bernyawa’ di kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.

Jelasnya, aksi menentang Singapura bukan sekadar pertembungan biasa, malah menjadi penentu kelayakan ke separuh akhir.

“Ia satu perlawanan besar kerana ia menentukan kelayakan kami ke separuh akhir. Kami akan beri yang terbaik, tetapi sudah tentu Singapura lawan yang sukar.

“Kami telah menganalisis permainan mereka, namun kami bermain di laman sendiri, jadi kami perlu gunakan kelebihan itu,” kata Aguero.

Ketika ditanya kelebihan Singapura yang memiliki beberapa pemain berpengalaman dalam Liga Malaysia, Aguero percaya perkembangan teknologi dan kajian taktikal mampu menyekat kelebihan itu.

“Ya, mereka ada kelebihan kerana beberapa pemain beraksi di Malaysia. Tapi sekarang, dengan teknologi dan jurulatih yang banyak mengkaji lawan, tiada lagi kelebihan besar.

“Jika kami bermain seperti ketika menentang Thailand, saya yakin kami boleh menang,” tegas Aguero.

Dalam pada itu, Aguero yang sebelum ini viral dengan ucapan motivasi di bilik persalinan semasa menentang Thailand tempoh hari, mengakui telah menyuntik semangat dalam skuad kebangsaan.

“Di Pahang, saya sering buat (ucapan motivasi), tapi saya berhenti tahun lalu. Sekarang, saya rasa pasukan ini memerlukannya.

“Kita dapat lihat bagaimana kami bermain lebih baik menentang Thailand berbanding Timor Leste. Jadi, saya percaya kami ada peluang cerah untuk ke separuh akhir,” katanya.-UTUSAN