Jijoe fokus tamatkan pengajian pada 2025

Sukan

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengesahkan beliau tidak akan kembali berkayuh untuk musim 2025 bagi menamatkan ijazah sarjana muda dalam Sains Senaman Klinikal di Melbourne, Australia.

Bagaimanapun, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu memaklumkan beliau akan membantu barisan pelumba berbasikal trek negara dalam persiapan beberapa kejohanan pada tahun depan serta 2026.

Menurutnya, beliau akan memberi sokongan dari segi latihan dan moral bagi membantu mereka mencapai tahap tertinggi bagi acara temasya seperti Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

“Setakat ini saya tidak memasang niat untuk berkayuh. Saya hanya mahu memberi sokongan dari segi latihan dan moral. Seperti saya kata dahulu, baton saya sudah diserahkan kepada mereka (pelumba lain).

“Kita ada (Muhammad) Shah Firdaus (Sahrom), Ridwan (Sahrom), Fadhil (Zonis) dan beberapa pelumba yang lain. Saya akan membantu mereka dalam persiapan Sukan Asia dan Komanwel.

“Saya harap mereka akan mencapai tahap prestasi yang tertinggi menjelang temasya berkenaan,” kata Azizulhasni.

Terdahulu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara bersetuju untuk mengekalkan Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan.

Kelmarin, Setiausaha Agung PKBM, Arif Astaman memaklumkan sekiranya Jijoe bersetuju untuk berada di program berkenaan, maka beliau akan diberi Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk melayakkan diri ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile pada Oktober depan.

Bagaimanapun, tugas getir menanti Azizulhasni untuk melayakkan diri ke kejohanan terbabit apabila beliau wajib mengumpul mata ranking menerusi kejohanan yang diiktiraf oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) seperti Piala Negara-negara dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC).-UTUSAN