Kai Wun-Wei Chong fokus tembusi 10 terbaik dunia

Sukan

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun bersama pasangannya Man Wei Chong optimis mampu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada musim 2025.

Kai Wun-Wei Chong menunjukkan peningkatan memberangsangkan bermula awal tahun ini, namun pada September, mereka berdepan dengan masalah konsistensi sehingga menyebabkan mereka gagal melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir 2024.

Menurut Kai Wun, pencapaiannya pada tahun ini dengan hanya satu penampilan pada pentas akhir di Terbuka Indonesia pada Jun, tidak begitu memenuhi sasarannya pada musim 2024.

“Kami lebih stabil tahun ini berbanding dua tahun yang lalu. Akan tetapi perkembangan kami tidak begitu baik. Hanya satu penampilan di final sahaja. Tahun hadapan, kami akan lebih fokus dan kami berharap dapat meraih kejayaan dalam setiap pertandingan yang disertai.

“Justeru, kami berharap dapat menembusi kelompok lapan atau 10 terbaik dunia kerana kami gagal mencapai sasaran tahun ini untuk berada di 12 terbaik dunia,” kata Kai Wun.

Dalam masa yang sama, pemain berusia 24 tahun itu turut meluahkan kekecewaannya selepas gagal membuat penampilan sulung di Jelajah Dunia Akhir berikutan terkandas di pusingan awal pada tiga kejohanan yang terakhir iaitu Terbuka Denmark, Masters Jepun dan China Masters.

Bagaimanapun, beliau mahu melupakan peristiwa berkenaan dan mengalihkan fokusnya untuk kejohanan pembuka musim 2025 iaitu Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 12 Januari depan.

“Kesilapan kami pada tiga kejohanan mungkin daripada diri kami sendiri. Kami terlalu menginginkannya (Jelajah Dunia Akhir) sehinggakan kami memberi tekanan pada diri sendiri.

“Tahun hadapan kami perlu mula semula daripada awal. Terbuka Malaysia kami harus fokus satu per satu. Semua kejohanan yang kami sertai kami harus memberi tentangan sengit dan mempersembahkan permainan terbaik,” kata Kai Wun.

Untuk rekod, Kai Wun-Wei Chong selesa berada carta ketujuh di ranking Jelajah Dunia akhir pada September dan kemudian menjunam jatuh tempat ke-11 pada akhir November, sekali gus menutup pintu ke pertandingan terakhir tahun ini.- UTUSAN