Anugerah Puskas milik Garnacho

Sukan

LONDON: Alejandro Garnacho dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA menerusi jaringan akrobatik menakjubkan dilakukannya ketika menentang Everton musim lalu.

Pemain Manchester United itu menjaringkan gol menakjubkan menerusi sepakan akrobatik ketika menentang Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada November tahun lalu tetapi terlepas untuk anugerah 2023, bermakna pemain Argentina itu terpaksa menunggu lebih lama untuk memenanginya.

Jaringan itu dilakukannya pada minit ketiga pada perlawanan di Goodison Park dan mempunyai persamaan dengan Wayne Rooney ketika menentang Manchester City pada 2011 apabila menyambut hantaran Diogo Dalot dari sebelah kanan.

“Secara jujur sukar saya mempercayainya dan sangat berbangga untuk memenangi anugerah ini, ia adalah detik yang membanggakan untuk saya dan keluarga saya.

“Terima kasih kepada semua yang mengundi untuk saya, terutamanya peminat United. Ia adalah penyudah yang hebat, dan saya telah berlatih untuk ini banyak kali.

“Saya tidak melihat bagaimana jaringan itu dilakukan. Saya hanya dengar jeritan penyokong dan berkata, ‘Oh Tuhan’. Ia masih November tetapi mungkin antara jaringan tercantik musim ini.

“Ia sama seperti gol Rooney tetapi saya tak tahu mana satu lebih cantik. Kedua-duanya jaringan mengagumkan,”kata Garnacho.

Garnacho yang meraikan harijadinya ke-20 pada Julai lalu menamatkan kempen musim lalu dengan 10 gol dalam semua kejohanan dan kini sudah meledak lapan jaringan pada separuh musim 2024/25.

Ia kali kelima dalam tempoh 15 tahun Anugerah Puskas dimenangi menerusi jaringan yang hadir daripada Liga Perdana Inggeris selepas Olivier Giroud (2017), Mohamed Salah (2018), Son Heung-min (2020) dan Erik Lamela (2021).-AGENSI