Fokus capai ranking 100 dunia

Sukan

PETALING JAYA: Malaysia berpotensi untuk mengulangi sejarah 1993 dengan menduduki kelompok 100 terbaik dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya revolusi skuad kebangsaan yang direncanakan ketika ini membuahkan hasil.

Bagaimanapun, untuk mencapai sasaran itu bukan satu tugas mudah buat pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski kerana memerlukan perancangan terbaik selain skuad negara ‘wajib’ dibarisi pemain berkualiti tidak kira anak tempatan, pemain warisan mahupun naturalisasi.

Dalam masa sama, pasukan dibentuk kelak perlu meraih kemenangan dalam perlawanan persahabatan kelas ‘A’ dengan pasukan-pasukan di kedudukan lebih baik daripada Malaysia selain kita juga perlu mengelak berdepan pasukan diranking lebih rendah.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui kemasukan pemain naturalisasi dan warisan yang berkualiti merupakan salah satu cara untuk mempercepatkan usaha berada di ranking lebih baik dan kaedah berkenaan juga pernah diguna pakai oleh banyak negara.

“Dengan kemasukan pemain-pemain naturalisasi, pemain warisan mungkin ini adalah salah satu cara terbaik untuk kita cepat dalam meningkatkan prestasi skuad negara. Jadi perkara itu telah dilakukan oleh banyak negara,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berpendapat tempoh dua tahun perlu diberikan kepada barisan kejurulatihan diketuai Cklamovski untuk mencapai sasaran ditetapkan dan ia adalah jangka masa minimum.

“Sekurang-kurang minimum dua tahun diberikan kepada jurulatih baharu ini untuk capai sasaran ditetapkan. Jangan tempoh setahun dia gagal, kita sudah buang. Nanti bertukar jurulatih sahajalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk rekod, ranking tertinggi yang pernah dicapai Malaysia adalah pada tahun 1993 iaitu di tangga ke-75 dunia sebelum mengalami penurunan dan kini skuad kebangsaan berada di ranking ke-132.-UTUSAN