FAM umum jurulatih baharu bikin Pau Marti pelik

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui berasa pelik apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan jurulatih skuad kebangsaan yang baharu tatkala kejohanan Piala ASEAN 2024 sedang berlangsung.

Bagaimanapun, jurulatih dari Sepanyol itu enggan memikirkan perkara tersebut sebaliknya mahu kekal fokus membantu pasukan menewaskan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

FAM mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai jurulatih baharu dan akan memulakan tugas secara rasmi mulai 1 Januari 2025.

“Tetapi kita tidak boleh mengubahnya, jadi apa yang kita boleh kawal adalah apa yang kita lakukan dalam latihan, apa yang kita lakukan di padang. Ini adalah satu-satunya perkara yang perlu kita fokuskan.

“Fokus untuk mendapatkan yang terbaik daripada pemain kita, pastikan semua pemain boleh bermain dan merancang dengan baik untuk menewaskan Singapura kerana jika kita terlalu banyak memikirkan perkara lain yang sedang berlaku, saya rasa akan sangat sukar untuk bersaing,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Sebagai rekod, Piala ASEAN 2024 merupakan tugasan terakhir Pau Marti bersama skuad Harimau Malaya. – UTUSAN