KBS maafkan Victor, enggan panjangkan isu bendera terbalik

Sukan

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima permohonan maaf daripada pengeluar pakaian sukan, Victor, berhubung insiden Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan permohonan tersebut dan menegaskan bahawa Zii Jia tidak berniat untuk menghina negara. 

“Saya yakin Zii Jia tidak berniat memalukan negara, jadi permohonan maaf ini diterima. Namun, kami ingin mengingatkan semua atlet untuk mengambil serius perkara ini bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Buat masa sekarang permohonan maaf telah dikeluarkan oleh Victor. Saya belum semak (jika Zii Jia dan pasukannya telah mengeluarkan permohonan maaf) sejak kejadian itu dan bagi saya, buat masa ini ia telah memadai,” kata Hannah selepas sidang media di Menara KBS, Putrajaya, semalam.

Dalam masa yang sama, beliau juga menuntut pengurus dan atlet lain agar lebih berhati-hati dalam memastikan kesilapan serupa tidak berlaku pada masa depan.

Justeru, Hannah turut mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) merangka garis panduan kod etika bagi mengelakkan insiden serupa.

Terdahulu, Zii Jia mencetuskan kontroversi apabila memakai jersi dengan bendera Malaysia terbalik ketika beraksi dalam Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China, baru-baru ini. – UTUSAN