Permohonan GPS fokus kepada persatuan sukan, bukan syarikat

Sukan

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memaklumkan bahawa pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM30 juta untuk Dana Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025, dengan beberapa perubahan strategik diperkenalkan bagi memperkasa pengurusan dana.

Beliau menjelaskan bahawa syarikat tidak lagi dibenarkan memohon Geran Padanan Sukan (GPS), bagi memberi lebih ruang kepada persatuan sukan mengemukakan permohonan berulang kali.

“Setiap pemohon hanya dibenarkan mendapatkan satu kelulusan bagi setiap jendela permohonan, manakala permohonan seterusnya akan dipertimbangkan selepas laporan lengkap diserahkan dan tuntutan bayaran kelulusan sebelumnya disempurnakan.

“Penyaluran peruntukan GPS adalah melalui tuntutan bayaran balik selepas program selesai, dengan jumlah pembiayaan sehingga 50 peratus daripada kos keseluruhan program atau maksimum RM1 juta,” kata Hannah kepada pemberita Sidang Akhbar Dana Sukan KBS Tahun 2025 di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Hannah juga turut menggalakkan persatuan sukan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memastikan pertandingan yang dianjurkan memberi impak terhadap ranking atlet negara.

“Selain GPS, kementerian turut memperuntukkan RM25 juta bagi Dana Sukan Komuniti (DSK) dan menetapkan semua pertandingan antarabangsa di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

“Langkah tersebut selaras dengan Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], yang mengkehendaki kebenaran bertulis daripada Menteri sebelum menawarkan diri menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa,” tambahnya.

Akhir sekali, Hannah mengingatkan pemohon agar tidak menggunakan khidmat ‘runner,’ kerana kementerian tidak mengenakan sebarang caj atau komisen dalam proses permohonan atau kelulusan dana. – UTUSAN