PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC meraikan kejayaan bersejarah apabila Wan Hai Lines (M) Sdn. Bhd. (Wan Hai) dan Interasia Lines (M) Sdn. Bhd. (Interasia) mencapai jumlah kendalian bersama sebanyak dua juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) dalam setahun di pelabuhan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn. Bhd. (MMC Ports), Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, Wan Hai telah mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa sejak kejayaan mereka mencapai kendalian satu juta TEU pada tahun 2015 di Northport.
Katanya, Interasia pula telah mengukuhkan operasinya dan terus meningkatkan bahagian pasaran mereka di Northport.
“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Wan Hai dan Interasia di atas pencapaian signifikan dengan jumlah kendalian sebanyak dua juta TEU ini.
“Pencapaian ini mencerminkan pengukuhan dan potensi perdagangan Intra-Asia yang semakin meningkat dan kami kekal komited dalam menyokong rancangan pengembangan rakan-rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan.
Wan Hai dan Interasia yang merupakan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Taiwan, masing-masing merekodkan pertumbuhan pengendalian sebanyak 11 peratus dan 15 peratus di Northport dari Januari hingga November 2024, berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Azman berkata, pencapaian ini adalah bukti peranan Northport sebagai salah sebuah pelabuhan utama di rantau ini.
“Pertumbuhan ini juga menyerlahkan kejayaan perkembangan dan strategi logistik maritim yang kukuh oleh syarikat Wan Hai dan Interasia.
“Kami komited dalam menyediakan perkhidmatan dan fasiliti pelabuhan terbaik untuk terus mencapai peningkatan produktiviti bagi menyokong pertumbuhan para pelanggan kami,” ujarnya.
Wan Hai telah memulakan perkhidmatan Singapura/Malaysia di Northport, (ketika itu dikenali sebagai Klang Container Terminal atau KCT) pada tahun 1989 dan telah berkembang dengan ketara sejak dari itu.
Kini Wan Hai adalah pelanggan terbesar Northport dari segi pengendalian kontena.
Sementara itu, Interasia telah memulakan operasi di Northport melalui perkhidmatan Indonesia/Malaysia Express dalam tahun 2006 dan kini, Interasia merupakan salah satu pelanggan terbesar di Northport.
Wan Hai kini mempunyai 15 perkhidmatan persinggahan di Northport.
Dalam pada itu, Interasia mempunyai 11 perkhidmatan persinggahan bersama beberapa kumpulan rakan kongsi termasuk Wan Hai, KMTC Line (Malaysia) Sdn. Bhd., Sinokor Malaysia Sdn. Bhd., Unifeeder Malaysia Sdn. Bhd., COSCO SHIPPING Lines (Malaysia) Sdn Bhd, BTL Shipping & Forwarding Sdn. Bhd. dan Ocean Network Express (Malaysia) Sdn Bhd. – UTUSAN