JOHOR BAHRU: Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor esok bakal membahaskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, konvensyen yang bertemakan ‘Membugar Kekuatan Mendepani Pilihanraya’ lebih menjurus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Dalam hal itu, Amanah Johor juga bersedia untuk berbincang bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) berkenaan kerusi Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.
“Kedua-dua kerusi itu sebelum ini diberikan secara ihsan kepada parti Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) di Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Minggu lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad turut menyuarakan hasrat mahu mengambil kerusi Parlimen dan DUN tersebut.
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan dan keputusan Muda untuk tidak lagi bersama kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Ketika ini, Parlimen Muar disandang oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala DUN Puteri Wangsa disandang Amira Aisya Abd. Aziz.
Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, konvensyen kali ini juga akan mengetengahkan isu berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh yang telah diperjuangkan selama ini. – UTUSAN