Ladang Agropolitan Chemomoi kumpul hasil lateks lebih RM953,000

Perniagaan

BENTONG: Ladang Agropolitan Chemomoi di sini yang menempatkan 137 peserta berjaya mengumpul hasil lateks 142 metrik tan dengan jualan berjumlah RM953,000 sehingga bulan lalu.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Manndzri Nasib berkata, secara puratanya, hasil terkumpul lateks sudah pun mencapai sehingga 30 metrik tan berat kering pada satu-satu masa.

Katanya, kerjasama strategik bersama Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (Mardec) membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sekali gus menyumbang pengeluaran getah negara.

“Kejayaan pelaksanaan Ladang Agropolitan Chemomoi yang dilengkapi dengan kompleks pengumpulan hasil lateks boleh dijadikan model kepada cadangan pelaksanaan penanaman getah negara berskala besar.

“Komplek Lateks Agropolitan Chemomoi ini sebagai usaha meningkatkan pengeluaran lateks negara pada masa hadapan bagi menampung keperluan industri negara,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi di sini.

Manndzri berkata, Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi antara terbesar di negara ini bernilai RM21.7 juta dilihat menjadi pemangkin perubahan kepada penghasilan getah domestik dan memperkasakan peranan pekebun kecil yang selari dengan Aspirasi Desa Madani.

Menurutnya, kompleks seluas 521.27 hektar itu mula dibangunkan pada 2010 membabitkan 137 peserta terlibat projek penanaman komoditi getah dan mula mengeluarkan hasil pada 2017.

“Kemudahan petempatan di kompleks ini membabitkan 200 rumah, empat lot kedai satu tingkat, empat unit gerai dan masing- masing sebuah surau, dewan dan tadika,” katanya.

Tambah beliau, komuniti Ladang Agropolitan Chemomoi bertuah kerana sebuah kompleks pengumpulan lateks yang bernilai RM423,000 dibina di situ pada November 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada Julai lalu.

“Usaha ini mampu memberikan pulangan pendapatan lebih tinggi kepada peserta selari dengan kenaikan harga getah negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tenggara. – UTUSAN