Terengganu berdepan JDT di separuh akhir

Sukan

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) menempah tempat ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-2 pada perlawanan kedua suku akhir untuk menang dengan aggregat 6-2, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, NSFC melakukan kejutan apabila mendahului perlawanan hasil sepakan penalti Muhammad Hadin Azman yang gagal diselamatkan Muhammad Rahadiazli Rahalim pada minit ke-24.

Skuad Jang dihadiahkan sepakan penalti tersebut setelah pertahanan TFC, Muhammad Alif Zakaria menjatuhkan pemain import NSFC, Jacque Faye dalam kotak penalti.

Pada minit ke-34, NSFC mendapat gol kedua menerusi jaringan A. Selvan setelah bijak menyempurnakan sepakan hantaran Hein Htet Aung.

Bagaimanapun, skuad Sang Penyu tidak mudah patah semangat dengan sering mengatur serangan berbahaya dan mendapatkan jaringan pertama hasil sepakan Muhammad Akhyar Abdul Rashid minit ke-41.

Muhammad Akhyar tidak melepaskan peluang keemasan tersebut setelah mendapat hantaran kemas pemain import, Ismaheel Akinade.

TFC hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi sepakan kencang Muhammad Azam Azmi Murad, namun ditepis penjaga gol NSFC,

Pada masa kecederaan lewat separuh masa pertama, Muhammad Safawi Rasid mencatat nama sebagai penjaring gol apabila  menyamakan kedudukan setelah mendapat hantaran Muhammad Akhyar dalam kotak penalti.

Pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah  menjaringkan gol ketiga hasil sentuhan Muhammad Azam Azmi selepas menerima bola tolakan pemain gantian, Nelson Bonila pada minit ke-81.

TFC memperoleh jaringan gol keempat hasil sepakan penalti Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni pada masa kecederaan separuh masa kedua, setelah bola terkena tangan pemain pertahanan dalam kotak penalti.

Pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada 14 Disember lalu, TFC menewaskan NSFC dengan jaringan 2-0.

TFC dijadual berhadapan dengan pasukan JDT pada saingan pertama separuh akhir Piala Malaysia pada 17 Januari 2025. – UTUSAN