PETALING JAYA: Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley, menggesa perubahan dalam model pembangunan sukan berbasikal trek di Malaysia bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan sukan terbabit.
Menurut Beasley, sukan berbasikal trek negara berdepan cabaran besar disebabkan kekurangan velodrom, sekali gus menjadi salah satu faktor yang menghalang perkembangan sukan ini.
Beasley turut menyatakan kebimbangan selepas acara berbasikal trek tidak dianjurkan dalam Sukan Malaysia (Sukma), sekali gus menyukarkan pencarian bakat baharu di peringkat akar umbi.
“Kami berada dalam program elit dan saya faham bahawa tidak semua orang akan berjaya, tetapi berbasikal trek di Malaysia unik kerana hanya ada beberapa velodrom di seluruh negara.
“Situasi itu menyebabkan kami terpaksa mengendalikan pembangunan dan prestasi tinggi dalam keadaan yang sukar.
“Oleh itu, negeri-negeri perlu memberi fokus kepada sukan ini dalam Sukma. Jika acara berbasikal trek tidak ada dalam Sukma, kami tidak mendapat sokongan,” kata Beasley.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengkritik beberapa negeri yang tidak menyediakan acara berbasikal trek dalam Sukma, seperti yang berlaku di Sarawak pada Ogos lalu dan kemungkinan di Selangor pada edisi seterusnya.
“Saya juga dimaklumkan bahawa Sukma seterusnya di Selangor masih belum pasti akan menganjurkan acara trek kerana mereka (negeri-negeri) tidak melihat peluang untuk meraih pingat emas dalam acara tersebut.
“Ini bermakna, jika kita menaikkan had umur Sukma, ia akan lebih membantu pembangunan atlet. Selain itu, kita perlu memastikan acara berbasikal trek dimasukkan dalam setiap edisi Sukma.
“Langkah ini akan memaksa jurulatih di negeri-negeri untuk membangunkan pelumba yang kami perlukan untuk mewakili negara,” tambahnya.-UTUSAN