PETALING JAYA: Selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia musim ini, jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Nanthakumar mahu mengalihkan tumpuannya kepada Liga Super.
Bekas pertahanan Perak itu tekad untuk membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Super musim ini sekurang-kurangnya berada di tangga kesembilan atau ke-10.
NSFC kini berada di tangga tercorot liga selepas mengutip enam mata daripada 15 perlawanan apabila hanya menang sekali, seri tiga dan selebihnya kalah.
“Kalau boleh tak nak habiskan liga di tempat tercorot. Aksi liga masih ada 9 perlawanan jadi saya nak tamatkannya untuk berada di tempat kesembilan atau ke-10 untuk baki sembilan perlawanan ini. Saya akan buat yang terbaik untuk baki sembilan perlawanan akan datang,” katanya.
NSFC gagal mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini apabila tewas 4-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi kedua suku akhir di tempat lawan, semalam sekali gus tewas agregat 6-2.
Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu mengakui kesilapan di bahagian pertahanan telah menghukum pasukannya walaupun mereka mendahului perlawanan dengan jaringan 2-0.
“Kita mendahului 2-0 dan TFC main di laman sendiri pastinya tidak mahu kalah. Pada babak pertama mereka dapat menjaringkan dua gol dan kesilapan di babak kedua TFC dapat lagi dua gol.
“Kesilapan berlaku di bahagian pertahanan. Walaupun kedudukan 2-2 pada babak pertama kami cuba mendapatkan satu lagi jaringan di separuh masa kedua tetapi TFC pula yang menjaringkan gol dan selepas itu kami sudah mula perlahan,” katanya. – UTUSAN