SEREMBAN: Kerajaan Perpaduan boleh memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya aspek kesetiaan kepada parti diberikan keutamaan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, BN akan terus memberikan komitmen iaitu untuk bersama Kerajaan Perpaduan dan mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU Ke-16.
Sehubungan itu, beliau berharap, pandangan dan pendapat kepemimpinan BN termasuk barisan menteri dari parti itu juga perlu diberikan perhatian selain menegaskan agar tidak ada usaha untuk membawa ahli dan pemimpin BN ‘menyeberang’ ke parti lain.
“Saya ingin nyatakan bahawa kerjasama UMNO dan BN dengan Kerajaan Perpaduan adalah sehingga PRU-16.
“Oleh yang demikian bagi menyantuni rakyat dan mewujudkan kerajaan yang stabil, sila dengar pendapat-pendapat dari menteri-menteri yang mewakili BN.
“Jangan ada usaha untuk membawa mana-mana bagi menyeberang, kerana soal kesetiaan adalah perkara utama di dalam kepemimpinan UMNO, menyantuni rakyat dan kekal setia dalam parti adalah prinsip utama kita berparti,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi Penyelaras BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang yakin Kerajaan Perpaduan mempunyai kelebihan untuk menang jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berpuas hati dengan prestasi diberikan menteri-menteri BN ketika ini dalam memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Setakat ini atas pemerhatian, semua menteri-menteri dalam BN telah berikan prestasi yang terbaik dan saya ucapkan terima kasih, sebab kita mempunyai pengalaman mentadbir yang lama dan dewasa sebagai kerajaan.
“Cuma ada seorang itu yang berhajat untuk ‘menyeberang’ kita cari tempat lain untuk bincang,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau yang juga Presiden UMNO mengingatkan kepemimpinan dan ahli parti itu dan BN supaya menguatkan semangat berpasukan dan tidak melemahkan parti yang diibaratkan beliau sebagai ‘jaringkan bola ke gol sendiri’.
Tegasnya, jika perkara itu berlaku, BN tidak akan dapat kembali menjadi parti yang kuat selepas menghadapi kekalahan di dua PRU yang lalu.
“Saya tidak sebut nama sesiapa, hakikatnya kita mesti berperanan di posisi masing-masing, agar kemenangan memihak kepada kita, pasukan ini pasukan BN jangan tendang bola dalam gol sendiri,” tegasnya.