TFC enggan terlalu hormat kepada JDT

Sukan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menuntut anak buahnya agar tidak terlalu memandang hormat kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

TFC di jadual menentang penyandang juara, JDT pada 17 Januari dan 1 Februari ini sekali gus mengulangi aksi final pada musim lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menang 3-1.

Badrul mengakui JDT merupakan pasukan yang seimbang di semua bahagian malah mengakui kehebatan yang dimiliki JDT namun itu tidak bermakna mereka perlu menunduk terlalu hormat kepada lawan.

“Kita layak ke separuh akhir kena tengok kekuatan yang ada pada JDT. Semua orang tahu JDT pasukan yang kuat namun apa pun kita tak boleh terlalu menghormati JDT.

“Kita akan lawan sehabis yang mungkin,” kata Badrul selepas pasukannya mara ke separuh akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-2 sekali gus melakar kemenangan agregat 6-2 di laman sendiri, semalam.

TFC terlebih dahulu ketinggalan 2-0 selepas Hadin Azman dan A. Selvan sebelum tuan rumah bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.

Mengulas lanjut, Badrul Afzan memuji semangat juang yang dimiliki pemainnya untuk mengesahkan kemenangan walaupun terpaksa bangkit daripada ketinggalan berpunca daripada kesilapan sendiri.

“Pemain terlalu ghairah untuk menyerang dan menjaringkan gol sehingga lupa di bahagian belakang dan tidak fokus kita kena 2-0. Mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dan menang 4-2 untuk aksi ini.

“Terima kasih kepada pemain yang kita lihat mereka bermain bermati-matian. Cemas memang cemas. Keseluruhan permainan kita kawal tetapi kita leka di bahagian pertahanan menyebabkan kita tidak tersusun apabila lawan menyerang untuk menjaringkan gol,” katanya. – UTUSAN