JDT tidak gentar tentang mana-mana pasukan

Sukan

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui tidak gentar untuk berdepan mana-mana pasukan untuk mempertahankan Piala Malaysia.

Harimau selatan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan agregat 6-1.

Biarpun lawan menggunakan taktik ‘parkir bas’ pada aksi kedua suku akhir itu masih gagal menyekat keghairahan Harimau Selatan memburu jaringan dalam aksi di laman sendiri itu.

Dia sudah menjangkakan pasukan kendalian Miroslav Kuljanac akan bermain bertahan dan sebab itulah JDT berterusan menekan lawan bagi memaksa mereka melakukan kesilapan.

“Saya sudah menjangkakan KL City akan beraksi secara bertahan dan sesekali melakukan serang balas. Jadi, kami meningkatkan tempo permainan dengan lebih kerap memberi tekanan dan bergerak di posisi sayap kiri dan kanan.

“Saya tidak terlalu memikirkan soal pasukan lawan sebaliknya lebih menumpukan pada aksi pasukan, bagaimana kita hendak merungkai benteng lawan dan sebagainya.

“Hasilnya, kita berjaya mencipta ruang dan memaksa pasukan melakukan kesilapan, dalam masa sama bertindak pantas mematikan serangan balas mereka dan cepat kembali ke posisi untuk bertahan,” katanya.

Pada aksi separuh akhir, Harimau Selatan akan akan berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bagi aksi pertama pada 17 Januari depan.

Bidoglio berkata, setiap pemain diingatkan untuk mengekalkan falsafah permainan JDT yang mengekalkan aksi agresif dan berintensiti tinggi, sekali gus memberikan kepuasan kepada para penyokong.

“Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna kita sudah lengkap dan masih ada ruang untuk penambahbaikan. Kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadi pasukan yang lebih baik.

“Kita semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia. Jadi, kita tidak boleh terlalu berpuas hati, sebaliknya perlu bekerja lebih keras untuk kekal konsisten,” katanya.-UTUSAN